Thursday, April 23, 2009

Bab Peperangan Uhud





و حَدَّثَنَا هَدَّابُ بْنُ خَالِدٍ الْأَزْدِيُّ حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ سَلَمَةَ عَنْ عَلِيِّ بْنِ زَيْدٍ وَثَابِتٍ الْبُنَانِيِّ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُفْرِدَ يَوْمَ أُحُدٍ فِي سَبْعَةٍ مِنْ الْأَنْصَارِ وَرَجُلَيْنِ مِنْ قُرَيْشٍ فَلَمَّا رَهِقُوهُ قَالَ مَنْ يَرُدُّهُمْ عَنَّا وَلَهُ الْجَنَّةُ أَوْ هُوَ رَفِيقِي فِي الْجَنَّةِ فَتَقَدَّمَ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ فَقَاتَلَ حَتَّى قُتِلَ ثُمَّ رَهِقُوهُ أَيْضًا فَقَالَ مَنْ يَرُدُّهُمْ عَنَّا وَلَهُ الْجَنَّةُ أَوْ هُوَ رَفِيقِي فِي الْجَنَّةِ فَتَقَدَّمَ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ فَقَاتَلَ حَتَّى قُتِلَ فَلَمْ يَزَلْ كَذَلِكَ حَتَّى قُتِلَ السَّبْعَةُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِصَاحِبَيْهِ مَا أَنْصَفْنَا أَصْحَابَنَا

Dan Haddab bin Khalid al-Azdi telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Hammad bin Salamah daripada ‘Ali bin Zaid dan Tsabit al-Bunani daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w. telah terasing pada hari peperangan Uhud bersama tujuh orang Anshor dan dua orang Quraisy. Apabila orang-orang kafir Quraisy telah menghampiri Baginda, Nabi s.a.w. pun bersabda: “Siapakah yang akan menghalau mereka daripada kita dan dia akan menjadi temanku dalam syurga nanti.” Maka tampillah ke hadapan seorang lelaki Anshor. Beliau memerangi orang-orang kafir sehingga terbunuh. Kemudian mereka menghampiri Nabi s.a.w. lagi maka Baginda bersabda: “Siapa yang akan menolak/menghalau mereka daripada kita maka dia akan mendapat syurga” atau Nabi s.a.w. bersabda “dia akan menjadi sahabat yang akan bersamaku dalam syurga.” Maka tampil seorang lelaki Anshor ke hadapan lalu berperang sehingga terbunuh. Begitulah seterusnya sehingga terbunuhnya ketujuh-tujuh orang mereka. Pada ketika itu Rasulullah s.a.w. berkata kepada dua orang sahabatnya : “Kita tidak berlaku adil terhadap sahabat-sahabat kita itu.”


Serba Sedikit Tentang Perawi

Haddab bin Khalid al-Azdi:
I. Imam an-Nasa`ei mengatakannya dhaif.
II. Bukhari ada menerima riwayatnya yang lain tetapi menolak riwayat ini.

Ali bin Zaid bin Jud`an:
I. Seorang perawi yang dipertikaikan, da`if, bahkan sesetengah ulamak mengatakannya syi`ah pelampau.
II. Bukhari tidak meriwayatkan hadits ini walaupun menerima riwayat-riwayat Tsabit al-Bunani.
III. Memandangkan riwayatnya lemah maka mengikut kaedah usul hadits perawi lain dibawa untuk menguatkan riwayatnya. Dengan sebab itu Imam Muslim mengemukakan seorang lagi yang meriwayatkan hadits yang sama iaitu Tsabit al-Bunani.
IV. Hadits ini hanya terdapat dalam sahih Muslim dan tidak ada dalam kitab-kitab Sunan Sittah yang lain.


Tentang Matan

Ini menurut riwayat yang masyhur iaitu dengan mati fa`; مَا أَنْصَفْنَا أَصْحَابَنَا beginilah dhobit jumhur ulamak mutaqaddimin dan mutaakhkhirin yang membawa makna: Orang-orang Quraisy tidak berlaku adil terhadap Anshor kerana kedua-dua orang Quraisy tidak keluar pergi berperang bahkan selamat kedua-duanya. Qadhi `Iyad dan lain-lain berkata: Ada sesetengah perawi meriwayatkan مَا أَنْصَفَنَا أَصْحَابُنَا bermakna: Sahabat-sahabat kita dari kalangan Muhajirin telah tidak berlaku adil terhadap kita dengan sebab mereka telah lari berselerak. [Syarah Sahih Muslim Jld.6 m/s.404

Hadits ini tidak ada dalam Sunan Sittah kecuali Sahih Muslim sahaja dan kalau diperhatikan kepada riwayat-riwayat tadi terutama riwayat مَا أَنْصَفْنَا أَصْحَابَنَا memberikan makna yang tidak elok dan tidak sesuai: ‘Kita tidak berlaku adil’ ya`ni Quraisy adakah Nabi s.a.w. maksudkan orang lain sedangkan Nabi s.a.w. sendiri juga seorang muhajirin dan Quraisy. Kalau begitu adakah ini bermakna Nabi s.a.w. telah berlaku tidak adil kepada sahabat-sahabatnya? Kalau Nabi tidak adil maka siapa pula yang lebih adil daripada Nabi s.a.w.? Sekiranya tidak adil itu dengan sebab dua orang Quraisy yang bersama Nabi s.a.w. tidak pergi menghadapi perang maka siapa pula dua orang itu? Dari sini timbul syak dan kemungkinan bahawa dua orang yang biasanya berada dengannya adalah Abu Bakr ada Umar maka adakah kedua-dua tokoh besar ini yang kemudiannya menjadi khalifah adalah orang yang tidak adil. Jika kita tidak perhatikan dan perhalusi isi kandungan cerita ini berkemungkinan kita akan termakan hasutan Syiah yang cuba memburukkan sahabat-sahabat seterusnya Nabi s.a.w. Maka mengikut kaedah usul dirayah; jika riwayat tersebut menjejaskan nama Nabi s.a.w. maka riwayat tersebut tidak boleh diterima walaupun sanadnya sahih. Apatah lagi jika ia bercanggah dengan akidah, al-Quran dan riwayat-riwayat sahih yang lain yang menta`dilkan (menyatakan keadilan) sahabat-sahabat.

Begitu juga dengan riwayat yang menyebutkan; مَا أَنْصَفَنَا أَصْحَابُنَا ya`ni dengan makna: ‘Kita (puak Quraisy) tidak berlaku adil terhadap sahabat-sahabat kita’ sedangkan sahabat Quraisy yang ada hanyalah dua orang dan kalaupun mereka pergi menghadapi musuh dan syahid ianya tetap menjadi tidak adil kerana sahabat Anshor tujuh orang semuanya manakala muhajirin hanya tinggal dua orang sahaja. Kecualilah kalau kita cuba kita katakan bahawa kerana yang lain sudahpun berselerak tetapi mereka berselerak bukanlah dengan sengaja ataupun dengan kehendak mereka tetapi disebabkan oleh keadaan perang kerana dalam peperangan adakalanya kita terpaksa berundur buat sementara waktu dan itu adalah biasa. Maka adakah dengan perbuatan terpaksa seperti itu kita boleh menyalahkan mereka sehingga mengatakan mereka tidak adil. Kita boleh menghukum seorang adil atau tidak hanya apabila seseorang itu ada pilihan samada untuk melakukannya atau tidak manakala dalam keadaan berselerak seperti ini maka adakah kita masih lagi boleh untuk kita menghukum mereka sebagai orang yang tidak adil? Ini bukannya berlaku dengan pilihan manusia. Jadi tidak timbul masalah adil atau tidak.

Jika dikatakan bahawa ayat tersebut dimaksudkan untuk umum ianya tetap tidak boleh diterima kerana masih ada dua orang sahabat. Maka timbul syak apabila tidak dinyatakan siapakah dua sahabat tersebut dan kenapa pula nama dua orang sahabat tersebut tidak dinyatakan? Apa pula motif disebalik ayat yang tidak jelas ini dalam keadaan sudah maklum bahawa dua orang sahabat yang paling rapat dengan baginda adalah Abu Bakar dan Umar sebagaimana maklum bahawa apabila disebutkan ‘Syaikhain’ (dua orang tua) maka kebiasaannya ia merujuk kepada Abu Bakar dan Umar.

Kesamaran ini membolehkan mereka mencerca sahabat-sahabat dan pada masa yang sama mengelakkan diri dari tuduhan mencerca sahabat-sahabat utama baginda dengan mengatakan ianya bukan ditujukan kepada Abu Bakar dan Umar dan tidak semestinya perkataan tersebut merujuk kepada mereka sahaja. Inilah yang sering berlaku di mana perawil-perawi Syi`ah cuba berselindung disebalik perkataan yang tidak jelas agar dapat mengelirukan ummat Islam.

Perkataan-perkataan seperti ini sering digunakan agar dapat memperdayakan seterusnya menyebar luaskan dakyah mereka yang jelas cuba menjatuhkan aqidah suci ummat Islam.


٣- حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ يَحْيَى التَّمِيمِيُّ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ أَبِي حَازِمٍ عَنْ أَبِيهِ أَنَّهُ سَمِعَ سَهْلَ بْنَ سَعْدٍ يُسْأَلُ عَنْ جُرْحِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ أُحُدٍ فَقَالَ جُرِحَ وَجْهُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكُسِرَتْ رَبَاعِيَتُهُ وَهُشِمَتْ الْبَيْضَةُ عَلَى رَأْسِهِ فَكَانَتْ فَاطِمَةُ بِنْتُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَغْسِلُ الدَّمَ وَكَانَ عَلِيُّ بْنُ أَبِي طَالِبٍ يَسْكُبُ عَلَيْهَا بِالْمِجَنِّ فَلَمَّا رَأَتْ فَاطِمَةُ أَنَّ الْمَاءَ لَا يَزِيدُ الدَّمَ إِلَّا كَثْرَةً أَخَذَتْ قِطْعَةَ حَصِيرٍ فَأَحْرَقَتْهُ حَتَّى صَارَ رَمَادًا ثُمَّ أَلْصَقَتْهُ بِالْجُرْحِ فَاسْتَمْسَكَ الدَّمُ

Yahya bin Yahya al-Tamimi telah meriwayatkan kepada kami, katanya: ‘Abd al-‘Aziz bin Abi Hazim telah meriwayatkan kepada kami daripada ayahnya bahawa beliau mendengar Sahl bin Sa`ad ketika beliau ditanya tentang luka Rasulullah s.a.w. yang Rasulullah s.a.w. dapat pada hari Uhud. Sahl bin Sa`ad berkata: “Muka Rasulullah s.a.w. telah luka dan gigi ruba`iyyah nya terserpih/retak dan pecah topi besi di atas kepalanya. Fatimah anak perempuan Rasulullah s.a.w. membasuh darah dan ‘Ali bin Abi Talib pula mencurahkan air kepadanya dengan perisai. Apabila Fatimah nampak air tidak menambahkan kecuali semakin banyak keluar darah lalu dia pun mengambil secebis tikar dan dibakarnya sehingga menjadi abu dan melekatkannya pada luka Nabi s.a.w. maka pada ketika itu barulah darah berhenti mengalir.


وَكُسِرَتْ رَبَاعِيَتُهُ

Sesetengah penterjemah mengatakan gigi Nabi s.a.w. tercabut ataupun patah namun tidak ada riwayat yang menyebutkan bahawa gigi Nabi s.a.w. rongak maupun patah tetapi apa yang digambarkan adalah gigi Nabi s.a.w. sentiasa elok. Ini termasuklah apa yang diriwayatkan oleh orang-orang yang terkemudian memeluk Islam. Ini menunjukkan gigi Nabi s.a.w. tidak tercabut maupun patah.


Wallahu`alam,
Ibnu Hasan,
Kota Bharu, Kelantan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...