Thursday, November 4, 2010

Kongsi Raya



Kita sering ditanya; bolehkah kita menghadiri jamuan perayaan bukan Islam? Harus atau tidak untuk kita turut sama dalam acara-acara seperti membuat kolum dan seumpamanya? Bolehkah kita memberi hadiah kepada orang bukan Islam pada hari natal? Bolehkah kita menghadiahkan sesuatu atau melakukan sesuatu sempena perayaan mereka? Bolehkah kita mengucapkan selamat pada hari raya bukan Islam seperti selamat hari natal, selamat hari deepavali dan lain-lain?


Persoalan-persoalan tadi akan kembali kepada satu persoalan pokok iaitu ‘merayakan perayaan orang kafir’ atau lebih dikenali sebagai kongsi raya.


Memang seronok berhari raya namun setiap sesuatu batas dan garis panduannya menurut Islam.


Menjalinkan hubungan yang baik dengan orang bukan Islam atas dasar muhibbah asalnya harus dan digalakkan dalam Islam tetapi deeparaya sebagai contoh adalah perayaan yang berkait dengan agama Hindu.


Perbuatan menghadiri open-house sempena perayaan bukan Islam secara tidak langsung akan menjadikan kita sebagai salah seorang yang memeriahkan sambutan perayaan tersebuat sekaligus tidak timbulkah dibenak hati anda.


Adakah Islam menyuruh kita memeriahkan perayaan orang Kafir yang mana perayaan tersebut asalnya adalah untuk mera`ikan ‘tuhan-tuhan’ mereka atau menyatakan kegembiraan mereka dengan anutan dan fahaman mereka.


Manakala mengambil bahagian dalam acara-acara berkaitan sepeti membuat kolum dan seumpamanya memang jelas terlarang kerana ianya berkait rapat dengan perayaan hindu kerana tidak ada kolum sekiranya tiada deepavali atau orang beragama hindu.


Kita harus berhati-hati dan mengelakkan diri dari turut serta dalam mera`ikan mereka apabila datangnya perayaan mereka kerana ia termasuk dalam perbuatan memuliakan atau membesarkan perayaan orang kafir kerana Islam datang untuk meruntuhkan amalan khurafat jahiliyyah dan bukannya mera`ikan dan menyuburkan amalan mereka.



Dalil-Dalil


1) Apakah logik apabila Islam datang untuk meruntuhkan Jahilyyah dan kesesatan sedangkan kita pula mengucapkan Selamat kepada perayaan mereka yang mana sebenarnya adalah syiar atau lambang kepada agama mereka.


Ini adalah kerana hari perayaan agama kaum bukan Islam pada hakikatnya adalah syiar agama mereka. Umat Islam disuruh supaya tidak meniru syiar dan budaya kaum bukan Islam. Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:


Barang siapa meniru syiar sesuatu kaum (bukan Islam), maka ia daripada golongan mereka - (riwayat Abu Dawud bilangan 4031. Musnad Ahmad Ibn Hanbal, bilangan 5093).


Mengucap tahniah dan selamat Hari Raya kepada mereka, adalah antara tanda kerelaan hati terhadap kekufuran seseorang. Islam menolak sekeras-kerasnya sikap itu. Apakah logik seorang muslim mengucapkan Selamat kepada apa yang dianuti oleh orang kafir sedangkan ianya bertentangan dengan aqidah muslim itu?


Selain itu ucapan salam itu pada hakikatnya doa dan mengharapkan Allah memberi kebaikan kepada mereka, sedangkan ulama sepakat menyatakan haram berdoa kepada kaum bukan Islam sekalipun ia hanya kerana membalas ucapan yang mereka mulakan.


2) Ijma` ulama` mengatakan bahawa kita perbuatan merayakan perayaan orang kafir a.k.a kongsi raya boleh menjatuhkan aqidah seseorang a.k.a murtad.wal-`iyazubillah.


3) al-`Allamah Muhaddits Khalil Ahmad as-Sharanfuri menukilkan dalam kitabnya Bazlul Majhud Fi Syarhi Sunan Abi Daud (jld.6 ms116) berhubung dengan hadits:


عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَلَهُمْ يَوْمَانِ يَلْعَبُونَ فِيهِمَا فَقَالَ مَا هَذَانِ الْيَوْمَانِ قَالُوا كُنَّا نَلْعَبُ فِيهِمَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ


Daripada Anas, katanya: “Ketika Rasulullah s.a.w. datang ke Madinah, mereka mempunyai dua hari di mana mereka bersuka ria padanya. Rasulullah s.a.w. bertanya: “Dua hari apakah ini? Mereka menjawab, “Kami bersuka ria pada dua hari ini semasa Jahiliyyah. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah s.w.t. menggantikan untuk kamu dengan yang lebih baik daripada keduanya iaitu Hari Adha dan Hari Fitr.”


3.1) Muzhir berkata:" Dalam hadits ini ada dalil bahawa memuliakan Nairuz & Mahrajan dan perayaan orang kafir selainnya adalah dilarang."


3.2) Abu Hafsh al-Kabir al-Hanafi berkata: "Sesiapa yang menghadiahkan walau sebiji telur sahaja kepada musyrik/orang kafir pada hari rayanya kerana membesarkan hari rayanya maka dia jadi kafir dan dia terhapus amalannya." 


3.3) al-Qadhi Abu al-Muhasin al-Hasan bin Manshur al-Hanafi berkata: "Sesiapa yang membeli bersempena hari raya orang kafir sesuatu yang dia tidak beli pada hari-hari lainnya atau dia menghadiahkan sesuatu pada hari raya orang kafir. sekiranya dia bermaksud membesarkan/memuliakan hari tersebut ."


4) Selain itu hadits tadi juga menjadi dalil yang jelas haramnya merayakan perayaan orang kafir kerana sabda Rasulullah “Sesungguhnya Allah s.w.t. menggantikan untuk kamu dengan yang lebih baik daripada keduanya iaitu Hari Adha dan Hari Fitr.”


Sekiranya ummat Islam boleh menumpang gembira atau kongsi raya menyambut perayaan orang kafir sudah tentau baginda tidak melarang dan tiada perintah Allah untuk menukarkannya.”


Tindakan ini jelas untuk menjaga aqidah ummat Islam dari bercampur baur dengan syirik dan supaya Islam itu lebih jelas dan suci dari menyekutukan Allah s.w.t.


Ini selaras dengan maksud kedatangan Islam sebagai agama yang sempurna dan tidak memerlukan tokok dan tambah dari mana-mana aspek dan sudut.


5) Tindakan berlemah lembut & sambil lewa terhadap pegangan kita serta tiada ketegasan boleh menyebabkan hilangnya dinding pemisah yang boleh membezakan antara Islam dan bukan Islam seterusnya menghilangkan identiti Islam dan kemurnian Islam. Dalam erti kata lain, Islam akan diserap masuk ke dalam agama lain dan yang tinggal hanyalah namanya sahaja.



Komen penulis


Bayangkan kalau sebiji telur sahaja yang kita hadiahkan kerana memuliakan perayaan mereka boleh menyebabkan kita terkeluar dari Islam maka apatah lagi kalau kita turut mengambil bahagian dalam jamuan atau kenduri mereka. Perbuatan seperti ini sekiranya diiringi dengan rasa memuliakan atau membesarkan perayaan mereka atau kta berniat turut sama memeriahkan perayaan mereka adalah termasuk dalam larangan hadits ini.


Apakah tidak cukup lagi dengan perayaan dalam Islam sehingga kita terdesak menumpang perayaan orang bukan Islam? Apakah orang Islam di Malaysia sangat suka beraya sehingga mengenepikan batas syariat dan aqidah mereka?


Namun ini tidak bermakna orang yang mempunyai hubungan rapat dengan orang bukan Islam seperti muallaf atau orang yang berkaitan seperti isteri atau suami muallaf harus memutuskan pertalian keluarga mereka. Kedatangan Islam sama sekali tidak memisahkan hubungan ibu dengan anak atau seumpamanya.


Dalam masalah ini mereka harus menziarahi keluarga mereka yang bukan Islam bahkan ini termasuk dalam usul da`wah tetapi ini tidak bermakna mereka turut merayakan perayaan orang kafir.


Ironinya muslim dan muslimah di Malaysia yang tiada kaitan kekeluargaan dengan orang bukan Islam juga turut sama mahu merayakannya. Inilah yang terjadi apabila terlajak dalam menjalinkan hubungan baik sehingga mengenepikan aqidah dan syariat Islam hinggakan kita tidak merasa pelik orang Islam tetapi merayakan perayaan bukan Islam yang mana lebih dikenali sebagai kongsi raya pada masa ini.


Kita harus sedar bahawa umat Islam di negara kita ini sangat mudah terikut-ikut dan mudah diserapi dengan budaya-budaya asing kerana kurang mendalami Islam. Budaya seperti ini jika dibiarkan akan menjadi lebih teruk dan seterusnya menjadi seperti pancasila di Indonesia dan India.


Tidak salah untuk kita terima hadiah dari mereka atau berhubungan baik dengan orang bukan Islam bahkan ummat Islam digalakkan menunjukkan rasa hormat dan akhlak yang mulia tetapi apa jua tindakan kita ada garis panduannya dalam Islam dan kita tidak perlu untuk menumpang perayaan yang tiada kaitan dengan kita.


Orang bukan Islam juga tidak pernah menganjurkan atau mengajak kita supaya berhari raya bersama dengan mereka. Jadi kenapa pula kita yang terkinja-kinja mahu merayakan perayaan mereka. Tidak malukah kita? Tambahan pula ia adalah salah di sisi agama kita.


Berhati-hatilah wahai muslimin dan muslimat, sayangilah aqidah anda & Islam anda. Kita tidak seharusnya memandang kecil isu penerapan budaya dan syiar bukan Islam yang begitu mudah menyerap ke dalam masyarakat kita, terutama melalui media elektronik yang sangat digemari oleh anak-anak kita.Jangan sampai Islam hanya sekadar tertera pada kad pengenalan sahaja tetapi tidak ada makna pada kita. Wallahua`lam


Disediakan oleh:

Ibnuhasan al-Kautsari al-Azhari,

Sg.Petani (5 November 2010 Bersamaan 28 Dzulkaedah 1431)


Klik Utk video berkaitan


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...