Monday, September 20, 2010

Fitnah Terhadap Sahabat: Kisah Tsa`labah Enggan Membayar Zakat





Tsa`labah : Ahli Badar Yang Teraniaya


Cerita tentang Tsa’labah seringkali kita dengar terutamanya bila isu tentang zakat dibincang. Kisah ini diceritakan dalam kelas-kelas pengajian, ceramah ugama malah juga di mimbar-mimbar khutbah Jumaat.



Ceritanya begini:


Tsa’labah ialah seorang muslim yang taat di mana beliau tidak pernah meninggalkan sembahyang jemaah lima waktu bersama nabi s.a.w. Beliau amat miskin sehingga terpaksa balik ke rumah lebih awal untuk berkongsi kain dengan isterinya. Lantaran kemiskinan yang melampau, beliau meminta supaya nabi s.a.w. mendoakannya supaya diberi kekayaan. Nabi s.a.w. pada mulanya enggan mendoakan Tsa’labah atas alasan kekayaan akan mejadi fitnah kepadanya , tetapi setelah didesak, baginda s.a.w. pun mendoakannya. Berkat doa nabi s.a.w., kambing yang dipelihara Tsa’labah membiak dengan banyak dan cepat.


Kesibukan menguruskan ternakannya menyebabkan beliau mulai cuai dalam ibadatnya. Pada mulanya beliau tertinggal satu dua sembahyang jemaah tetapi akhirnya beliau lansung tidak berjemaah. Untuk mengembangkan ternakannya beliau berpindah ke kawasan pendalaman dan hubungannya dengan muslimin yang lain terputus.


Nabi s.a.w. menghantar utusan untuk mengutip zakat tetapi beliau enggan mengeluarkan zakat malah memperlekehkan kewajipan itu. Sebelum kewafatan nabi s.a.w. beliau merasa insaf dan bertaubat serta ingin mengeluarkan zakat kepada nabi s.a.w. tetapi ditolak. Selepas kewafatan nabi s.a.w. beliau berjumpa dengan Khalifah Abu Bakar r.a. untuk mengeluarkan zakat tetapi ditolak oleh Abu Bakar atas alasan beliau tidak dapat menerima zakat itu kerana Rasulullah s.a.w. tidak menerima zakat sa’labah semasa hidup baginda.. Begitu juga di zaman permeritahan Sayyidina Umar al-Khattab r.a.

Akhirnya beliau mati dalam keadaan kufur!


Persoalannya : Siapakah Tsa’labah ini?


Mengapa seseorang yang menyesali perbuatannya dan ingin bertaubat tidak diterima taubatnya?


Tsa’labah yang diceritakan di sini sebenarnya adalah salah seorang dari mereka yang menyertai peperangan Badar. Sebagaimana dimaklumi, ahli Badar telah dijamin syurga oleh Rasulullah s.a.w. Dengan kenyataan ini tidak timbul soal keingkaran dan seterusnya mati dalam kekufuran. Riwayat ini adalah bermotif jahat untuk memburukkan sahabat r.a. Bila diteliti, di antara mereka yang mengaitkan Tsa’labah dengan perbuatan derhaka ini ialah Ali bin Zaid. Seorang yang dituduh sebagai penganut Syiah oleh majoriti ulama’ rijal. Sesuai dengan fahaman Syiah yang sentiasa mencari peluang untuk memburukkan sahabat r.a. (yang sebenarnya untuk menyerang peribadi Rasulullah s.a.w. juga) , cerita ini adalah salah satu senjata yang nampaknya tepat pada sasaran dan kini , ulama-ulama ahli Sunnah pula mengambil tempat mempopularkan hikayat karut ini.


Persoalan kedua, mengapakah Rasulullah s.a.w. menolak taubat dari seorang mukmin yang telah menyesali kesalahannya. Bukankah Rasulullah s.a.w. bekerja tanpa henti untuk menarik manusia kepada Islam dan mengingatkan mereka supaya sentiasa bertaubat. Dan adalah tidak masuk akal untuk mengatakan Rasulullah s.a.w. merajuk kerana tidak ditaati bila baginda memerintahkan untuk dipungut zakat pada pertama kalinya.


Penyebaran riwayat ini perlu dihentikan . Kepada sesiapa yang terlanjur meriwayatkannya samada melalui tulisan, ceramah atau lain-lain diharap dapat membetulkan fakta ini kepada audien masing-masing.


Sesungguhnya kepercayaan dan kecintaan kepada sahabat r.a. adalah di antara paksi tertegaknya agama ini kerana melalui merekalah al-Quran dan sunnah kita dapati hari ini.


Untuk perbincangan lanjut sila Klik Untuk Menonton Video



Sumber: http://www.darulkautsar.net/article.php?ArticleID=196

Thursday, September 2, 2010

Abu Talib: Mati Dalam Keadaan Beriman Atau Sebaliknya?



Abu Talib adalah salah seorang daripada bapa saudara junjungan kita Nabi s.a.w dan kisah tentangnya bersama Nabi s.a.w. sering dimomokkan semenjak bangku sekolah lagi. Namun apakah semua kisah yang dihebahkan itu benar menurut sumber sahih seperti al-Quran dan hadits atau adakah percanggahan yang menunjukkan ia adalah sebaliknya.


Artikel ringkas ini sedikit sebanyak mengajak kita sejenak berfikir dan merenung kembali kisah-kisah yang pernah kita dengari dengan pertimbangan neraca al-Quran dan hadits Nabi s.a.w.


Antara perkara yang telah diperbahaskan para alim ulamak adalah berkenaan kematian Abu Talib samada dalam Islam atau dalam kafir. Di sini ada beberapa hadits berkenaan saat kematian Abu Talib yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya:


[١٣٢] ٣٩)٢٤ –(و حَدَّثَنِي حَرْمَلَةُ بْنُ يَحْيَى التُّجِيبِيُّ أَخْبَرَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ وَهْبٍ قَالَ أَخْبَرَنِي يُونُسُ عَنْ ابْنِ شِهَابٍ قَالَ أَخْبَرَنِي سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ عَنْ أَبِيهِ قَالَ لَمَّا حَضَرَتْ أَبَا طَالِبٍ الْوَفَاةُ جَاءَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَوَجَدَ عِنْدَهُ أَبَا جَهْلٍ وَعَبْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي أُمَيَّةَ بْنِ الْمُغِيرَةِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا عَمِّ قُلْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ كَلِمَةً أَشْهَدُ لَكَ بِهَا عِنْدَ اللَّهِ فَقَالَ أَبُو جَهْلٍ وَعَبْدُ اللَّهِ بْنُ أَبِي أُمَيَّةَ يَا أَبَا طَالِبٍ أَتَرْغَبُ عَنْ مِلَّةِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ فَلَمْ يَزَلْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعْرِضُهَا عَلَيْهِ وَيُعِيدُ لَهُ تِلْكَ الْمَقَالَةَ حَتَّى قَالَ أَبُو طَالِبٍ آخِرَ مَا كَلَّمَهُمْ هُوَ عَلَى مِلَّةِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ وَأَبَى أَنْ يَقُولَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَا وَاللَّهِ لَأَسْتَغْفِرَنَّ لَكَ مَا لَمْ أُنْهَ عَنْكَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ { مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ } وَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى فِي أَبِي طَالِبٍ فَقَالَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ { إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ }


Dan Harmalah bin Yahya al-Tamimi telah meriwayatkan kepada saya, katanya: ‘Abdullah bin Wahb telah menceritakan kepada kami, katanya: Yunus telah menceritakan kepada saya daripada Ibnu Syihab, beliau berkata: Sa`id bin al-Musayyab telah menceritakan kepada saya daripada ayahnya, beliau berkata: “Bila Abu Talib hampir mati[1] maka Rasulullah s.a.w. pun pergi kepadanya. Didapati ada bersamanya Abu Jahal dan ‘Abdullah bin Abi Umayyah bin al-Mughirah lalu Rasulullah s.a.w. pun berkata: “Wahai pakcik! Katakan لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ satu ucapan yang aku akan menjadi saksi untuk engkau dengannya di sisi Allah.” Abu Jahal bin dan ‘Abdullah bin Abi Umayyah berkata: “Wahai Abu Talib! Adakah engkau sudah benci kepada agama ‘Abd al-Muttolib?” Begitulah Rasulullah s.a.w. terus mengemukakan kalimah لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ kepadanya dan dia pula mengulangi ucapan tadi sehingga Abu Talib berkata di akhir ucapannya ialah dia berada di atas agama `Abd al-Muttolib lalu Rasulullah s.a.w. pun berkata: “Sesungguhnya demi Allah! Aku akan meminta ampun untuk engkau selagi aku tidak dilarang daripadanya.” Selepas itu Allah s.w.t menurunkan ayat:


{ مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ }


(Maksudnya: Tidaklah dibenarkan[2] bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka[3] )


Dan Allah s.w.t menurunkan berkenaan Abu Talib, Allah mengatakan kepada Rasulullah s.a.w


{ إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ }


(Maksudnya: Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)[4])


Ayat ini menjadi dalil bahawa Abu Talib termasuk dalam kalangan mereka yang baik dan dikasihi oleh Nabi s.a.w. namun ia bukan sepertimana dakwaan Syiah yang mengatakan beliau mati di dalam Islam kerana keadilan Tuhan tidak akan membiarkan seorang yang amat baik sepertinya mati dalam kekufuran. Begitu juga dengan dakwaan yang mengatakan Nabi s.a.w. pernah berlindung di Syi`bi (lembah) Abi Talib sedangkan dalam riwayat yang lebih sahih menyebutkan ia bukanlah Syi`bi Abi Talib bahkan Syi`bi Bani Hasyim kerana maklum bahawa Abu Talib bukanlah seorang yang kaya.

Dengan sebab itu apabila Nabi s.a.w. sudah boleh berdikari baginda berbincang dengan `Abbas tentang kesusahan Abu Talib yang mempunyai ramai tanggungan di samping kecacatannya sebagai seorang yang tempang. Maka dengan sebab itu dia tidak boleh pergi jauh untuk berniaga. Antara riwayat lain yang dikaitkan dengannya bahawa beliau pernah membawa Nabi ke Syam dan kemudiannya bertemu dengan Buhaira di tengah perjalanan. Riwayat ini juga termasuk dalam riwayat –riwayat yang tidak sahih.

T

imbul khilaf berhubung kematian Abu Talib, adakah beliau mati dalam keadaan beriman atau sebaliknya?

i. Ada pendapat yang mengatakan Abu Talib mati dalam keadaan beriman kerana ada riwayat menunjukkan ketika beliau sudah hampir dengan mati maka Abbas (yang ketika itu masih belum memeluk Islam) melihat Abu Talib menggerak-gerakkan bibirnya lalu beliau meletakkan telinganya hampir dengan mulut Abu Talib dan beliau mendengar Abu Talib mengucap. Abbas pun memberitahu Nabi s.a.w: “Aku dengar dia ucapkan apa yang engkau suruh dia ucapkan.”

ii. Beliau mati dalam keadaan kafir berdasarkan riwayat ini dan riwayat yang menyebutkan menyebutkan bahawa Abu Talib berkata kepada Nabi s.a.w: “Kalaulah tidak kerana aku takut orang-orang Quraisy akan mencela aku, nanti mereka akan kata: Hanya mendorongnya mengucap itu kerana kegelisahannya hendak mati nescaya aku sejukkan mata engkau”.


Yang betul adalah Abu Talib mati dalam keadaan kafir. Dalilnya berdasarkan riwayat Bukhari yang juga terdapat dalam kitab-kitab lain ada disebutkan bahawa ada ‘Abbas, Abu Sa`id dan orang-orang lain bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang ‘apakah faedah yang Abu Talib dapat atas kebaikannya terhadap engkau?” Nabi s.a.w. menjawab: “Nerakanya setakat buku lalinya. Kalau tidak kerana aku maka ia pasti lebih berat. Setakat buku lali itu pun sudah menggelegak otaknya.” Ini menunjukkan beliau mati dalam keadaan kafir. Riwayat yang menunjukkan Abu Talib mati dalam keadaan kafir riwayat Bukhari dan Muslim manakala riwayat yang menunjukkan dia mati dalam Islam adalah riwayat Ibnu Ishaq selain itu riwayat tersebut adalah riwayat yang munqati`


[١٣٢] ٤٠ (..)- و حَدَّثَنَا إِسْحَقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ وَعَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ قَالَا أَخْبَرَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ أَخْبَرَنَا مَعْمَرٌ ح و حَدَّثَنَا حَسَنٌ الْحُلْوَانِيُّ وَعَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ قَالَا حَدَّثَنَا يَعْقُوبُ وَهُوَ ابْنُ إِبْرَاهِيمَ بْنِ سَعْدٍ قَالَ حَدَّثَنِي أَبِي عَنْ صَالِحٍ كِلَاهُمَا عَنْ الزُّهْرِيِّ بِهَذَا الْإِسْنَادِ مِثْلَهُ غَيْرَ أَنَّ حَدِيثَ صَالِحٍ انْتَهَى عِنْدَ قَوْلِهِ فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ فِيهِ وَلَمْ يَذْكُرْ الْآيَتَيْنِ وَقَالَ فِي حَدِيثِهِ وَيَعُودَانِ فِي تِلْكَ الْمَقَالَةِ وَفِي حَدِيثِ مَعْمَرٍ مَكَانَ هَذِهِ الْكَلِمَةِ فَلَمْ يَزَالَا بِهِ


Ishaq bin Ibrahim dan `Abd bin Humaid telah meriwayatkan kepada kami, mereka berdua berkata: `Abd al-Razzaq telah menceritakan kepada kami, katanya: Ma`mar telah menceritakan kepada kami ح dan Hasan al-Hulwani dan `Abd bin Humaid telah meriwayatkan kepada kami, beliau berdua berkata: Ya`qub iaitu Ibnu Ibrahim bin Sa`ad telah meriwayatkan kepada kami, beliau berkata: Ayahku telah meriwayatkan kepada saya daripada Soleh, kedua-duanya meriwayatkan al-Zuhri dengan isnad dan matan seperti hadits ini cuma hadits Soleh berhenti setakat sabdanya فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ فِيهِ (maka Allah Azza Wa Jalla menurunkan) ... tetapi dia tidak menyebutkan dua ayat (al-Quran) tadi dan dia ada menyebutkan dalam haditsnya وَيَعُودَانِ فِي تِلْكَ الْمَقَالَةِ (mereka berdua mengulangi kata-kata itu) dan dalam hadits Ma`mar di tempat kalimah tadi فَلَمْ يَزَالَا بِهِ ‘mereka berdua terus berkata begitu’


[١٣٤] ٤١ (٢٥)- حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبَّادٍ وَابْنُ أَبِي عُمَرَ قَالَا حَدَّثَنَا مَرْوَانُ عَنْ يَزِيدَ وَهُوَ ابْنُ كَيْسَانَ عَنْ أَبِي حَازِمٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِعَمِّهِ عِنْدَ الْمَوْتِ قُلْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ أَشْهَدُ لَكَ بِهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَأَبَى فَأَنْزَلَ اللَّهُ { إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ } الْآيَةَ


Muhammad bin `Abbad dan Ibnu Abi Umar telah meriwayatkan kepada kami, mereka berdua berkata: Marwan telah meriwayatkan kepada kami daripada Yazid iaitu Ibnu Kaisan daripada Abi Hazim daripada Abi Hurairah, beliau berkata: “Rasulullah s.a.w. berkata kepada bapa saudaranya ketika beliau hampir mati: “Ucapkanlah لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ aku akan bersaksi untuk engkau dengan kalimah itu di hari kiamat nanti lalu Allah menurunkan { إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ }


[١٣٥] ٤٢ (..)- حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ حَاتِمِ بْنِ مَيْمُونٍ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ كَيْسَانَ عَنْ أَبِي حَازِمٍ الْأَشْجَعِيِّ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ :قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِعَمِّهِ قُلْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ أَشْهَدُ لَكَ بِهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ قَالَ لَوْلَا أَنْ تُعَيِّرَنِي قُرَيْشٌ يَقُولُونَ إِنَّمَا حَمَلَهُ عَلَى ذَلِكَ الْجَزَعُ لَأَقْرَرْتُ بِهَا عَيْنَكَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ { إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ }


Muhammad bin Hatim bin Maimun telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Yahya bin Sa`id telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Yazid bin Kaisan telah meriwayatkan kepada kami daripada Abi Hazim al-Asyja`iy daripada Abi Hurairah, beliau berkata: “Rasulullah s.a.w. berkata kepada bapa saudaranya: “Ucapkanlah لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ aku akan bersaksi untuk engkau dengan kalimah itu di hari kiamat nanti.” Abu Talib berkata: “Kalaulah tidak kerana aku takut orang-orang Quraisy akan mencela aku, nanti mereka akan kata: Hanya mendorongnya mengucap itu kerana kegelisahannya hendak mati nescaya aku sejukkan mata engkau[5], lalu Allah menurunkan { إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ }


Qarabah


النَّبِيُّ أَوْلَى بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنْفُسِهِمْ وَأَزْوَاجُهُ أُمَّهَاتُهُمْ وَأُولُو الْأَرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَى بِبَعْضٍ فِي كِتَابِ اللَّهِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُهَاجِرِينَ إِلَّا أَنْ تَفْعَلُوا إِلَى أَوْلِيَائِكُمْ مَعْرُوفًا كَانَ ذَلِكَ فِي الْكِتَابِ مَسْطُورًا


Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang Yang beriman daripada diri mereka sendiri; dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka. dan orang-orang Yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak (mewarisi) akan setengahnya Yang lain - menurut (hukum) Kitab Allah - daripada orang-orang Yang beriman dan orang-orang Muhajirin (yang bukan kerabatnya), kecuali kalau kamu hendak berbuat baik kepada sahabat-sahabat karib kamu. hukum Yang demikian itu adalah tertulis Dalam Kitab Allah. – [Al-Ahzab:6]


Ini adalah dalil yang menunjukkan bahawa Nabi itu dekat dengan orang mukmin dari diri mereka sendiri dan isteri-isterinya adalah ibu-ibu orang mukmin. Nisbah yang ditunjukkan adalah begitu rapat bukannya keturunannya sahaja bahkan orang-orang mukmin saemuanya.


Segolongan orang yang mendakwa mereka adalah keturunan dan keluarga Nabi s.a.w. bahkan segelintir dari mereka menganggap mulia lebih dari orang lain padahal tidaklah yang menjadikan seorang itu mulia dan dekat dengan Nabi s.a.w. melainkan iman dan taqwa seseorang itu.


وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ


Dan Demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa Yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, [Surah Qaf : 16]


وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْكُمْ وَلَكِنْ لَا تُبْصِرُونَ


Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat, [Surah al-Waqi`ah : 85]

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. [Al-Baqarah:186]


Ini jelas menunjukkan Allah itu dekat dengan kita dan apa yang perlu kita adalah menadah tangan dan berdoa kepada-Nya. Kita tidak perlu menyampaikan kepadanya melalu orang lain kerana Allah sendiri yang menyuruh kita berdoa kepada-Nya. Sesungguhnya Dia amat dekat dengan kita.

Allah itu dekat maka tidak usah dicari tidak usah melalui perantaraan atau prosedure tertentu, birokrasi itu dan ini. Semuanya tiada bahkan kita dekat dengannya sedekat-dengannya. Sesiapa sahaja tidak terkecuali siapa pun. Apa yang perlu hanyalah menuruti segala perintahnya dan beraqwa yang mana akhirnya kembali kepada kita faedahnya.



[1] Dalam setengah riwayat menyebutkan peristiwa ini berlaku dua atau tiga hari sebelum Abu Talib nazak tetapi sudah kelihatan tanda-tanda beliau sudah hampir mati.

[2] Ya`ni tidak boleh beristighfar bagi pihak orang kafir kerana ia adalah hak orang Islam sahaja walaupun sanak saudara yang dekat setelah jelas kafirnya.

[3] At-Taubah : 113

[4] Al-Qashash :56

[5] Ya`ni aku puaskan hatimu

Penjelasan Maksud Sebenar Hadits Larangan Pemakaian Labuh Atau Melebihi Paras Buku Lali

Klik Untuk Menonton Video: Penjelasan maksud sebenar hadits larangan pemakaian labuh

Antara hadits-hadits sekitar larangan tentang pemakaian yang melebihi paras buku lali atau pakaian yang meleret berdasarkan riwayat Sahih Muslim:



عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَنْظُرُ اللَّهُ إِلَى مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلَاءَ


Daripada Ibnu `Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah tidak melihat kepada orang yang mengheret pakaiannya kerana sombong




عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الَّذِي يَجُرُّ ثِيَابَةُ مِنْ الْخُيَلَاءِ لَا يَنْظُرُ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ


Daripada `Abdillah bin `Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya orang yang mengheret pakaiannya dengan sombong Allah tidak akan memandangnya pada hari kiamat nanti.”



عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ مِنْ الْخُيَلَاءِ لَمْ يَنْظُرْ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ


Daripada Ibnu `Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah tidak melihat kepada orang yang mengheret pakaiannya kerana sombong pada hari kiamat nanti.”




عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ رَأَى رَجُلًا يَجُرُّ إِزَارَهُ فَقَالَ مِمَّنْ أَنْتَ فَانْتَسَبَ لَهُ فَإِذَا رَجُلٌ مِنْ بَنِي لَيْثٍ فَعَرَفَهُ ابْنُ عُمَرَ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِأُذُنَيَّ هَاتَيْنِ يَقُولُ مَنْ جَرَّ إِزَارَهُ لَا يُرِيدُ بِذَلِكَ إِلَّا الْمَخِيلَةَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَنْظُرُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ


Daripada Ibnu `Umar bahawa beliau melihat seseorang mengheret kainnya lalu Ibnu `Umar bertanya: “Dari mana asalnya engkau?.” Lalu orang itu menisbahkan dirinya kepada asalnya. Rupa-rupanya dia adalah daripada kalangan Bani Laits dan Ibnu `Umar mengenalinya. Ibnu `Umar berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda dengan dua telingaku ini., sabdanya: “Sesiapa yang mengheret kainnya dan tidak dia berbuat demikian melainkan kerana kesombongan maka sesungguhnya Allah tidak akan melihatnya pada hari kiamat nanti.”




حَدَّثَنَا ابْنُ جُرَيْجٍ قَالَ سَمِعْتُ مُحَمَّدَ بْنَ عَبَّادِ بْنِ جَعْفَرٍ يَقُولُ أَمَرْتُ مُسْلِمَ بْنَ يَسَارٍ مَوْلَى نَافِعِ بْنِ عَبْدِ الْحَارِثِ أَنْ يَسْأَلَ ابْنَ عُمَرَ قَالَ وَأَنَا جَالِسٌ بَيْنَهُمَا أَسَمِعْتَ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الَّذِي يَجُرُّ إِزَارَهُ مِنْ الْخُيَلَاءِ شَيْئًا قَالَ سَمِعْتُهُ يَقُولُ لَا يَنْظُرُ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ


Ibnu Juraij meriwayatkan kepada kami, katanya: Saya telah mendengar Muhammad bin `Abbad bin Ja`far berkata: Aku menyuruh Muslim bin Yasar hamba bebasan Nafi` bin `Abd al-Harits supaya dia bertanya Ibnu `Umar. Katanya: Ketika aku duduk antara mereka berdua,: “Adakah engkau telah dengar apa-apa sabda Nabi s.a.w. berhubung dengan orang yang mengheret kainnya kerana sombong?” Jawabnya: “Aku mendengarnya, sabda baginda: “Allah tidak akan melihat kepada nya pada hari kiamat.”




عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ مَرَرْتُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَفِي إِزَارِي اسْتِرْخَاءٌ فَقَالَ يَا عَبْدَ اللَّهِ ارْفَعْ إِزَارَكَ فَرَفَعْتُهُ ثُمَّ قَالَ زِدْ فَزِدْتُ فَمَا زِلْتُ أَتَحَرَّاهَا بَعْدُ فَقَالَ بَعْضُ الْقَوْمِ إِلَى أَيْنَ فَقَالَ أَنْصَافِ السَّاقَيْنِ


Daripada Ibnu `Umar katanya: Aku lalu dekat Rasulullah .s.a.w. Pada ketika itu kainku menjela/terhulur/meleret. Lalu baginda berkata: “Wahai `Abdallah! Angkat kainmu.” Aku pun mengangkatnya. Kemudian baginda berkata: “Angkat lagi.” Lalu aku pun angkat lagi. Selepas itu saya sentiasa berhati-hati (apabila memakai kain). Sebahagian orang yang hadir bertanya: Sampai mana? / Setakat mana?. Ibnu `Umar menjawab: Sehingga separuh betis.



عَنْ مُحَمَّدٍ وَهُوَ ابْنُ زِيَادٍ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا هُرَيْرَةَ وَرَأَى رَجُلًا يَجُرُّ إِزَارَهُ فَجَعَلَ يَضْرِبُ الْأَرْضَ بِرِجْلِهِ وَهُوَ أَمِيرٌ عَلَى الْبَحْرَيْنِ وَهُوَ يَقُولُ جَاءَ الْأَمِيرُ جَاءَ الْأَمِيرُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى مَنْ يَجُرُّ إِزَارَهُ بَطَرًا


Daripada Muhammad – dia adalah anak Ziyad – katanya: Aku mendengar Aba Hurairah ketika beliau melihat seseorang mengheret kainnya dan dia terus menghentak kakinya ke bumi. Pada ketika itu dia adalah gabenor di Bahrain. Dia berkata: Gabenor telah datang! Gabenor telah datang. Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada orang yang menjelakan kainnya kerana sombong



عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِي قَدْ أَعْجَبَتْهُ جُمَّتُهُ وَبُرْدَاهُ إِذْ خُسِفَ بِهِ الْأَرْضُ فَهُوَ يَتَجَلْجَلُ فِي الْأَرْضِ حَتَّى تَقُومَ السَّاعَةُ

Daripada Abu Hurairah daripada Nabi s.a.w. sabdanya: “Ketika seorang lelaki berjalan, dia kagum dengan rambutnya yang menyapu bahu dan sepasang pakaian yang dipakainya tiba-tiba dia ditelan bumi. Dia terus menggelupur di dalam bumi sehingga berlaku kiamat.”




عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَيْنَمَا رَجُلٌ يَتَبَخْتَرُ يَمْشِي فِي بُرْدَيْهِ قَدْ أَعْجَبَتْهُ نَفْسُهُ فَخَسَفَ اللَّهُ بِهِ الْأَرْضَ فَهُوَ يَتَجَلْجَلُ فِيهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ketika seorang lelaki berlagak berjalan dengan memakai sepasang pakaian. Dia kagum dengan dirinya sendiri. Allah menyuruh bumi menelannya dan dia terus menggelupur dalam bumi itu sehingga hari kiamat.”



Huraian:

Imam an-Nawawi menyebutkan dalam Syarah Sahih Muslim bahawa makna ‘Allah tidak melihatnya’ ialah Allah tidak merahmatinya dan Allah tidak akan melihatnya dengan pandangan rahmat. Manakala perbuatan malabuhkan pakaian atau meleretkan pakaian ini pula boleh berlaku pada kain, baju, maupun serban.


Tidak harus melabuhkan pakaian di bawah dari buku lali sekiranya dengan maksud menyatakan kesombongan.


Zahir hadits ini perbuatan mengheret kain atau menjela-jelakan kain dikaitkan dengan kesombongan. Pengharaman adalah khusus dengan maksud itu ya`ni kesombongan dan Imam Syafie menyebutkan demikian dengan terang dalam kitabnya bahawa itulah maksudnya dengan membezakan antara sombong dan tidak sombong.


Namun larangan supaya tidak melabuhkan dibawah paras buku lali ini hanya kepada kaum lelaki sahaja tetapi kaum perempuan diharuskan walaupun labuhnya melebihi sehasta kebawah.


Sebenarnya semua ini ada kaitan dengan latarbelakang masyarakat pada zaman Nabi s.a.w. di mana orang-orang besar menyatakan pangkat, darjat dan kesombongan melalui pakaian yang labuh dan meleret. Ini tidak lagi menjadi lambang kebesaran, darjat atau kesombongan pada zaman ini. Bahkan tidak terlintas di benak masyarakat yang berpakaian melebihi paras tumit untuk menyatakan kesombongan mereka. Sepertimana perubahan fesyen berubah dari masa ke semasa maka begitulah jua dengan cara mereka menzahirkan darjat dan kesombongan, ia juga berubah seiring dengan peredaran zaman.


Pada zaman ini pakaian yang labuh tidak melambangkan keombongan, darjat maupun pangkat seseorang sebaliknya ianya lebih umum dan boleh berubah-ubah dari masa ke semasa sama ada dari segi pakaian rasmi, kereta atau rumah mewah, fesyen pakaian atau trend terkini, berjenama, antik, klasik, lambang kemewahan dan sebagainya selagi sesuatu itu susah untuk ditemui dan dimiliki.


Dengan itu jelaslah bahawa maksud sebenar larangan di dalam hadits ini adalah supaya tidak berlaku sombong tidak kira dengan apa jua cara sekali pun. Gambaran yang diberikan dalam hadits tadi menunjukkan cara menyombong dengan menggunakan pakaian, sekiranya handphone terbaru dan tercanggih, ipad atau alat-alat lain yang tiada pada zaman Nabi s.a.w. menjadi alat menyatakan kesombongan seseorang pada masa ini maka ia juga termasuk dalam larangan ini. Semuanya bergantung kepada niat seseorang, apatah lagi jika ia sudah menjadi lambang atau simbolik kesombongan. Inilah sebagai salah usul dari Nabi s.a.w. supaya menjaga hati agar tidak sombong dan sesuatu yang membawa kepada kesombongan seperti pakaian dan sebagainya juga tidak harus dipakai.


Bahkan terdapat sahabat-sahabat Nabi s.a.w. yang memakai labuh melebihi paras buku lali termasuk Saidina Abu Bakar sendiri. Hadits ini ada disebutkan beberapa kali di dalam Sahih Bukhari:



عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلَاءَ لَمْ يَنْظُرْ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ إِنَّ أَحَدَ شِقَّيْ ثَوْبِي يَسْتَرْخِي إِلَّا أَنْ أَتَعَاهَدَ ذَلِكَ مِنْهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّكَ لَسْتَ تَصْنَعُ ذَلِكَ خُيَلَاءَ


Daripada `Abdullah bin `Umar, katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang mengheret pakaiannya yang labuh dengan sombong maka Allah tidak akan memandangnya pada hari kiamat nanti.” Maka Abu Bakar pun berkata: “Sesunggguhnya salah satu sisi kainku labuh melainkan aku beringat tentangnya.” Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya engkau tidak melakukan demikian kerana sombong.”


Ini jelas menunjukkan keharusan melakukan demikian jika tidak bermaksud menyatakan kesombongan. Seperti juga larangan makan di meja kerana pada masa itu raja-raja, orang-orang bangsawan dan berdarjat sahaja yang makan di meja dan mereka punya gaya yang tersendiri ya`ni tidak tunduk ketika makan.


Sifat sombong seperti itulah yang dibenci Allah dan Rasul dan tidak sepatutnya seorang muslim bersifat dengannya di atas muka bumi Allah kerana manusia semuanya sama. Apa yang membezakan antara sesama manusia tu hanyalah ketaqwaan mereka, firman Allah s.w.t:


يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ


Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu). Al-Hujuraat : 13


Kesimpulan daripada hadits, antaranya:

-Tidak boleh memakai apa-apa jenis pakaian, perhiasan ataupun selainnya untuk menyatakan kesombongan


-Sombong adalah sifat yang keji dan harus dielakkan termasuk mengelakkan diri dari memakai atau memilki simbol kepada kesombongan.

-Orang yang meleretkan pakaiannya kerana sombong tidak akan mendapat rahmat Allah pada hari kiamat

-Wajib menjaga hati dari sifat sombong


-Tidak harus memakai sesuatu yang menjadi simbolik kepada kesombongan untuk mencegah sifat sombong

-Pemakaian yang tidak menepati etika pemakaian Islam boleh menyumbang kepada pelbagai masalah sosial.

-Harta boleh membawa seseorang kepada jauh dari rahmat Allah sekiranya tidak digunakan dengan cara yang betul.



Saringan daripada Kuliah Hadits Muslim 181109 - ‘Bab Pengharaman Mengheret Atau Melabuhkan Kain Dengan Sombong Dan Menyatakan Had Yang Harus Dalam Pemakaian Kain Dan Yang Digalakkan’ -. Dengan Sedikit Ubahsuai. Disediakan oleh Mohd Nazri Hasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...