Thursday, September 2, 2010

Penjelasan Maksud Sebenar Hadits Larangan Pemakaian Labuh Atau Melebihi Paras Buku Lali

Klik Untuk Menonton Video: Penjelasan maksud sebenar hadits larangan pemakaian labuh

Antara hadits-hadits sekitar larangan tentang pemakaian yang melebihi paras buku lali atau pakaian yang meleret berdasarkan riwayat Sahih Muslim:



عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَنْظُرُ اللَّهُ إِلَى مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلَاءَ


Daripada Ibnu `Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah tidak melihat kepada orang yang mengheret pakaiannya kerana sombong




عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الَّذِي يَجُرُّ ثِيَابَةُ مِنْ الْخُيَلَاءِ لَا يَنْظُرُ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ


Daripada `Abdillah bin `Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya orang yang mengheret pakaiannya dengan sombong Allah tidak akan memandangnya pada hari kiamat nanti.”



عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ مِنْ الْخُيَلَاءِ لَمْ يَنْظُرْ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ


Daripada Ibnu `Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah tidak melihat kepada orang yang mengheret pakaiannya kerana sombong pada hari kiamat nanti.”




عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ رَأَى رَجُلًا يَجُرُّ إِزَارَهُ فَقَالَ مِمَّنْ أَنْتَ فَانْتَسَبَ لَهُ فَإِذَا رَجُلٌ مِنْ بَنِي لَيْثٍ فَعَرَفَهُ ابْنُ عُمَرَ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِأُذُنَيَّ هَاتَيْنِ يَقُولُ مَنْ جَرَّ إِزَارَهُ لَا يُرِيدُ بِذَلِكَ إِلَّا الْمَخِيلَةَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَنْظُرُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ


Daripada Ibnu `Umar bahawa beliau melihat seseorang mengheret kainnya lalu Ibnu `Umar bertanya: “Dari mana asalnya engkau?.” Lalu orang itu menisbahkan dirinya kepada asalnya. Rupa-rupanya dia adalah daripada kalangan Bani Laits dan Ibnu `Umar mengenalinya. Ibnu `Umar berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda dengan dua telingaku ini., sabdanya: “Sesiapa yang mengheret kainnya dan tidak dia berbuat demikian melainkan kerana kesombongan maka sesungguhnya Allah tidak akan melihatnya pada hari kiamat nanti.”




حَدَّثَنَا ابْنُ جُرَيْجٍ قَالَ سَمِعْتُ مُحَمَّدَ بْنَ عَبَّادِ بْنِ جَعْفَرٍ يَقُولُ أَمَرْتُ مُسْلِمَ بْنَ يَسَارٍ مَوْلَى نَافِعِ بْنِ عَبْدِ الْحَارِثِ أَنْ يَسْأَلَ ابْنَ عُمَرَ قَالَ وَأَنَا جَالِسٌ بَيْنَهُمَا أَسَمِعْتَ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الَّذِي يَجُرُّ إِزَارَهُ مِنْ الْخُيَلَاءِ شَيْئًا قَالَ سَمِعْتُهُ يَقُولُ لَا يَنْظُرُ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ


Ibnu Juraij meriwayatkan kepada kami, katanya: Saya telah mendengar Muhammad bin `Abbad bin Ja`far berkata: Aku menyuruh Muslim bin Yasar hamba bebasan Nafi` bin `Abd al-Harits supaya dia bertanya Ibnu `Umar. Katanya: Ketika aku duduk antara mereka berdua,: “Adakah engkau telah dengar apa-apa sabda Nabi s.a.w. berhubung dengan orang yang mengheret kainnya kerana sombong?” Jawabnya: “Aku mendengarnya, sabda baginda: “Allah tidak akan melihat kepada nya pada hari kiamat.”




عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ مَرَرْتُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَفِي إِزَارِي اسْتِرْخَاءٌ فَقَالَ يَا عَبْدَ اللَّهِ ارْفَعْ إِزَارَكَ فَرَفَعْتُهُ ثُمَّ قَالَ زِدْ فَزِدْتُ فَمَا زِلْتُ أَتَحَرَّاهَا بَعْدُ فَقَالَ بَعْضُ الْقَوْمِ إِلَى أَيْنَ فَقَالَ أَنْصَافِ السَّاقَيْنِ


Daripada Ibnu `Umar katanya: Aku lalu dekat Rasulullah .s.a.w. Pada ketika itu kainku menjela/terhulur/meleret. Lalu baginda berkata: “Wahai `Abdallah! Angkat kainmu.” Aku pun mengangkatnya. Kemudian baginda berkata: “Angkat lagi.” Lalu aku pun angkat lagi. Selepas itu saya sentiasa berhati-hati (apabila memakai kain). Sebahagian orang yang hadir bertanya: Sampai mana? / Setakat mana?. Ibnu `Umar menjawab: Sehingga separuh betis.



عَنْ مُحَمَّدٍ وَهُوَ ابْنُ زِيَادٍ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا هُرَيْرَةَ وَرَأَى رَجُلًا يَجُرُّ إِزَارَهُ فَجَعَلَ يَضْرِبُ الْأَرْضَ بِرِجْلِهِ وَهُوَ أَمِيرٌ عَلَى الْبَحْرَيْنِ وَهُوَ يَقُولُ جَاءَ الْأَمِيرُ جَاءَ الْأَمِيرُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى مَنْ يَجُرُّ إِزَارَهُ بَطَرًا


Daripada Muhammad – dia adalah anak Ziyad – katanya: Aku mendengar Aba Hurairah ketika beliau melihat seseorang mengheret kainnya dan dia terus menghentak kakinya ke bumi. Pada ketika itu dia adalah gabenor di Bahrain. Dia berkata: Gabenor telah datang! Gabenor telah datang. Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada orang yang menjelakan kainnya kerana sombong



عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِي قَدْ أَعْجَبَتْهُ جُمَّتُهُ وَبُرْدَاهُ إِذْ خُسِفَ بِهِ الْأَرْضُ فَهُوَ يَتَجَلْجَلُ فِي الْأَرْضِ حَتَّى تَقُومَ السَّاعَةُ

Daripada Abu Hurairah daripada Nabi s.a.w. sabdanya: “Ketika seorang lelaki berjalan, dia kagum dengan rambutnya yang menyapu bahu dan sepasang pakaian yang dipakainya tiba-tiba dia ditelan bumi. Dia terus menggelupur di dalam bumi sehingga berlaku kiamat.”




عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَيْنَمَا رَجُلٌ يَتَبَخْتَرُ يَمْشِي فِي بُرْدَيْهِ قَدْ أَعْجَبَتْهُ نَفْسُهُ فَخَسَفَ اللَّهُ بِهِ الْأَرْضَ فَهُوَ يَتَجَلْجَلُ فِيهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ketika seorang lelaki berlagak berjalan dengan memakai sepasang pakaian. Dia kagum dengan dirinya sendiri. Allah menyuruh bumi menelannya dan dia terus menggelupur dalam bumi itu sehingga hari kiamat.”



Huraian:

Imam an-Nawawi menyebutkan dalam Syarah Sahih Muslim bahawa makna ‘Allah tidak melihatnya’ ialah Allah tidak merahmatinya dan Allah tidak akan melihatnya dengan pandangan rahmat. Manakala perbuatan malabuhkan pakaian atau meleretkan pakaian ini pula boleh berlaku pada kain, baju, maupun serban.


Tidak harus melabuhkan pakaian di bawah dari buku lali sekiranya dengan maksud menyatakan kesombongan.


Zahir hadits ini perbuatan mengheret kain atau menjela-jelakan kain dikaitkan dengan kesombongan. Pengharaman adalah khusus dengan maksud itu ya`ni kesombongan dan Imam Syafie menyebutkan demikian dengan terang dalam kitabnya bahawa itulah maksudnya dengan membezakan antara sombong dan tidak sombong.


Namun larangan supaya tidak melabuhkan dibawah paras buku lali ini hanya kepada kaum lelaki sahaja tetapi kaum perempuan diharuskan walaupun labuhnya melebihi sehasta kebawah.


Sebenarnya semua ini ada kaitan dengan latarbelakang masyarakat pada zaman Nabi s.a.w. di mana orang-orang besar menyatakan pangkat, darjat dan kesombongan melalui pakaian yang labuh dan meleret. Ini tidak lagi menjadi lambang kebesaran, darjat atau kesombongan pada zaman ini. Bahkan tidak terlintas di benak masyarakat yang berpakaian melebihi paras tumit untuk menyatakan kesombongan mereka. Sepertimana perubahan fesyen berubah dari masa ke semasa maka begitulah jua dengan cara mereka menzahirkan darjat dan kesombongan, ia juga berubah seiring dengan peredaran zaman.


Pada zaman ini pakaian yang labuh tidak melambangkan keombongan, darjat maupun pangkat seseorang sebaliknya ianya lebih umum dan boleh berubah-ubah dari masa ke semasa sama ada dari segi pakaian rasmi, kereta atau rumah mewah, fesyen pakaian atau trend terkini, berjenama, antik, klasik, lambang kemewahan dan sebagainya selagi sesuatu itu susah untuk ditemui dan dimiliki.


Dengan itu jelaslah bahawa maksud sebenar larangan di dalam hadits ini adalah supaya tidak berlaku sombong tidak kira dengan apa jua cara sekali pun. Gambaran yang diberikan dalam hadits tadi menunjukkan cara menyombong dengan menggunakan pakaian, sekiranya handphone terbaru dan tercanggih, ipad atau alat-alat lain yang tiada pada zaman Nabi s.a.w. menjadi alat menyatakan kesombongan seseorang pada masa ini maka ia juga termasuk dalam larangan ini. Semuanya bergantung kepada niat seseorang, apatah lagi jika ia sudah menjadi lambang atau simbolik kesombongan. Inilah sebagai salah usul dari Nabi s.a.w. supaya menjaga hati agar tidak sombong dan sesuatu yang membawa kepada kesombongan seperti pakaian dan sebagainya juga tidak harus dipakai.


Bahkan terdapat sahabat-sahabat Nabi s.a.w. yang memakai labuh melebihi paras buku lali termasuk Saidina Abu Bakar sendiri. Hadits ini ada disebutkan beberapa kali di dalam Sahih Bukhari:



عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلَاءَ لَمْ يَنْظُرْ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ إِنَّ أَحَدَ شِقَّيْ ثَوْبِي يَسْتَرْخِي إِلَّا أَنْ أَتَعَاهَدَ ذَلِكَ مِنْهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّكَ لَسْتَ تَصْنَعُ ذَلِكَ خُيَلَاءَ


Daripada `Abdullah bin `Umar, katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang mengheret pakaiannya yang labuh dengan sombong maka Allah tidak akan memandangnya pada hari kiamat nanti.” Maka Abu Bakar pun berkata: “Sesunggguhnya salah satu sisi kainku labuh melainkan aku beringat tentangnya.” Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya engkau tidak melakukan demikian kerana sombong.”


Ini jelas menunjukkan keharusan melakukan demikian jika tidak bermaksud menyatakan kesombongan. Seperti juga larangan makan di meja kerana pada masa itu raja-raja, orang-orang bangsawan dan berdarjat sahaja yang makan di meja dan mereka punya gaya yang tersendiri ya`ni tidak tunduk ketika makan.


Sifat sombong seperti itulah yang dibenci Allah dan Rasul dan tidak sepatutnya seorang muslim bersifat dengannya di atas muka bumi Allah kerana manusia semuanya sama. Apa yang membezakan antara sesama manusia tu hanyalah ketaqwaan mereka, firman Allah s.w.t:


يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ


Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu). Al-Hujuraat : 13


Kesimpulan daripada hadits, antaranya:

-Tidak boleh memakai apa-apa jenis pakaian, perhiasan ataupun selainnya untuk menyatakan kesombongan


-Sombong adalah sifat yang keji dan harus dielakkan termasuk mengelakkan diri dari memakai atau memilki simbol kepada kesombongan.

-Orang yang meleretkan pakaiannya kerana sombong tidak akan mendapat rahmat Allah pada hari kiamat

-Wajib menjaga hati dari sifat sombong


-Tidak harus memakai sesuatu yang menjadi simbolik kepada kesombongan untuk mencegah sifat sombong

-Pemakaian yang tidak menepati etika pemakaian Islam boleh menyumbang kepada pelbagai masalah sosial.

-Harta boleh membawa seseorang kepada jauh dari rahmat Allah sekiranya tidak digunakan dengan cara yang betul.



Saringan daripada Kuliah Hadits Muslim 181109 - ‘Bab Pengharaman Mengheret Atau Melabuhkan Kain Dengan Sombong Dan Menyatakan Had Yang Harus Dalam Pemakaian Kain Dan Yang Digalakkan’ -. Dengan Sedikit Ubahsuai. Disediakan oleh Mohd Nazri Hasan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...