Friday, December 31, 2010

Menjelaskan Kekeliruan Sekitar Hukum Mewarnakan Rambut Beruban


Sinopis Video – ‘Menjelaskan Kekeliruan Sekitar Hukum Mewarnakan Rambut Beruban’

Klik untuk menonton video berkenaan



Petikan ini membincangkan tentang hadits-hadits yang menyatakan Nabi s.a.w. mempunyai uban tetapi dalam kadar yang sedikit iaitu di rambut bahagian tepi, pelipis (jambang) dan janggut sepat (iaitu janggut bawah bibir). Dalam hadits-hadits Shahih Muslim: Bab Uban Nabi s.a.w, perawi hadits ada menyebutkan bahawa Allah s.w.t tidak memburukkan rupanya, mencacatkannya, memburukkan atau meng`aibkannya dengan yang putih (ya`ni uban yang banyak)

Ini bermakna uban adalah suatu kekurangan, kecacatan dan juga suatu ke`aiban. Begitulah pada dasarnya dan demikian juga apa difahami oleh para sahabat .

Uban adalah proses yang biasa terjadi kepada orang yang meningkat umurnya bagi mereka yang normal sihatnya sama ada dengan kadar sedikit atau banyak.

Timbul persoalan, adakah Nabi s.a.w. berkhidob ya`ni memakai pewarna atau pun memakai dai rambut?

Dalam hadits Muslim ini, boleh dikatakan Anas r.a. menafikannya berkemungkinan kerana:

1. Baginya tidak perlu kerana tidak sampai ke tahap yang memerlukan nabi s.a.w. memakai khidob atau inai maka dia menafikannya.

2. Boleh jadi juga Anas tidak tahu.

3. Jarangnya Nabi s.a.w. melakukannya sehingga tidak boleh dihitung maka dengan itu beliau tidak menyebutnya.

Tetapi sahabat-sahabat dan sahabiah lain seperti isterinya sendiri Ummi Salamah menceritakan memang ada Nabi s.a.w. memakai khidob / pewarna rambut untuk menunjukkan keharusannya bahkan menjadi sunnah Nabi s.a.w.

Tetapi di Malaysia sunnah ini agak kurang diamalkan berkemungkinan kerana kurang mendalami hadits Nabi s.a.w. yang membawa kepada salah faham terhadap cara dan tujuan baginda melakukannya. Contohnya:

1. Tujuan sebenar mewarna atau menginai rambut dizaman Nabi s.a.w. hanya sebagai strategi peperangan iaitu supaya kelihatan muda.

2. Kebanyakan orang menganggap menginai atau mewarnakan rambut hanya dalam warna merah dan ini menyebabkan janggut atau rambut menjadi kuning dan kelihatan hodoh serta janggal kerana tidak menyerupai rupa asal.

3. Bahkan ada juga yang mengatakan haram menginai dengan selain warna merah. Sebenarnya fahaman yang begitu adalah silap dan menyalahi apa yang terdapat di dalam hadits-hadits Shahih seperti Bukhari, Muslim dan kitab-kitab sunan lain.

4. Tidak redha dengan keputusan tuhan ya`ni tidak menerima hakikat yang empunya diri sudah pun tua.


Salah Faham Tentang Adanya / Tsabitnya Hadits Tentang Khidob / Pewarna Rambut

Sekiranya kita perhatikan hadits-hadits dalam Shahih Muslim ini (Bab Uban Nabi s.a.w.) maka kita kan didapati walaupun Anas menafikannya tetapi beliau tidak menafikan Abu Bakar dan `Umar berkhidob dan perkara ini tentu diketahui oleh baginda s.a.w.

Bahkan dalam riwayat lain yang disebutkan dalam kitab-kitab Sunan menyebutkan bahawa Nabi s.a.w. sendiri yang mengkhidob ya`ni mewarnakan rambutnya. Jelas daripada hadits-hadits Muslim menunjukkan ubannya hanya sedikit. Ini menunjukkan keutamaan dan kelebihan mengkhidob ya`ni mewarnakan rambut kerana walaupun sedikit baginda tetap memakai khidob. Apatah lagi kepada mereka yang banyak ubannya maka sudah tentu lebih patut untuk memakainya.

Begitu juga dengan Saidina `Umar yang mana hadits-hadits menyebutkan bahawa beliau seorang yang botak dari tengah sehingga ke dahi. Ini menunjukkan Saidina `Umar hanya boleh mewarnakan rambut di tepi dan belakang kepalanya sahaja, pun begitu Saidina `Umar masih mahu mengkhidob rambutnya.


Salah Faham Tentang Warna Yang Diharuskan

Sesetengah pendapat hanya mengharuskan warna merah tetapi ini tidak tepat dan bercanggah dengan sebilangan hadits yang lain. Memang tidak dinafikan, ada ketikanya Saidina `Umar hanya menggunakan hinnat (inai). Ini menyebabkannya menjadi merah tetapi banyak lagi hadits-hadits lain yang menyebutkan Abu Bakr dan `Umar berkhidob menggunakan hinnat (inai) yang dicampurkan dengan katam (sejenis nama daun) yang mana menjadikan khidob ini berwarna kehitaman.

Selain itu keharusan menggunakan warna merah sahaja adalah tidak logik di Malaysia selain tidak bertepatan dengan hadits di mana salah satu tujuannya ialah untuk kelihatan muda dalam peperangan tetapi dengan memakai pewarna atau khidob berwarna merah tentulah tidak akan sampai maksudnya kerana mewarnakan rambut dengan warna merah tidak menampakkan seseorang itu lebih muda memandangkan rambut orang melayu yang muda belia berwarna hitam dan bukannya merah.

Daripada sini dapat kita fahami bahawa:

* Warna adalah mengikut warna asal rambut mengikut kaum masing-masing supaya sampai maksud dan tujuannya.

* Tidak harus mewarnakan rambut warna biru kerana tidak ada manusia yang warna asal rambutnya biru dalam dunia ini.


Salah Faham Tentang Tujuan Pemakaian

Tidak dinafikan bahawa salah satu tujuan pemakaian khidob atau pewarna rambut ini adalah supaya kelihatan muda sebagai salah satu strategi peperangan untuk memperdayakan pihak musuh tetapi terdapat juga hadits-hadits yang menyatakan pemakaiannya bukan ketika peperangan seperti yang diriwayatkan dalam hadits Shahih Muslim.

Nabi s.a.w. sendiri mahu ummatnya kelihatan cantik, segar dan sihat. Dari segi psikologinya semangat kita menjadi bertambah lemah apabila melihat diri sendiri di cermin dengan putihnya rambut berbeza dengan seorang yang mewarnakan rambutnya kembali ke warna asal yang mana mampu memotivasikan dirinya untuk lebih bersemangat.


Penggunaan Alat Pewarna Moden

Tidak ada dalil yang menunjukkan kemestian menggunakan alat tertentu sahaja. Sebagai contoh, Nabi s.a.w. memakai seluar. Maka adakah perlu diperincikan seluar yang bagaimana baginda pakai. Adakah seluar yang diharuskan itu mempunyai zip? Maka begitulah juga dengan pewarna yang digunakan, ianya berubah mengikut peredaran zaman dan perubahan teknologi. Oleh itu menggunakan apa-apa bahan untuk mendapatkan warna asal rambut adalah harus selagi bahan-bahan tersebut selamat, iaitu tidak membahayakan dan meninggalkan kesan warna serta bau walaupun terhadap bantal.

Selain itu, setelah melalui arus kemodenan pewarna juga dikategorikan mengikut bahagian-bahagiannya yang khusus demi keberkesanan dan supaya sampai maksudnya. Contohnya pewarna khusus untuk janggut, khusus untuk rambut-rambut di bahagian muka dan sebagainya.


Mewarnakan Rambut Beruban Menunjukkan Tidak Redha Atau Tidak Terima Hakikat

Perbuatan Nabi s.a.w dan sahabat-sahabatnya mewarnakan rambut jelas menafikan pendapat yang mengatakan mewarnakan rambut menunjukkan seseorang tidak redha dengan ketentuan Allah bahkan siapa lagi yang lebih redha dengan ketentuan Allah kalau bukan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat.

Hadits-hadits juga menunjukkan mereka mewarnakan rambut pada ketika mereka sudah pun tua dan mereka melakukannya bukan sahaja ketika perang.

Ini membuktikan ini bukan sahaja harus bahkan menjadi sunnah Nabi dan para sahabat mewanakan rambut, jambang, janggut dan misai berdasarkan hadits-hadits yang shahih.



Disediakan oleh

Mohd Nazri Hasan @ Ibnu Hasan

Sg.Petani,

28 December 2010,

Bersamaan 22 Muharram 1432 H.

16 comments:

  1. Salam.. ustaz, apakah beza antara inai dan juga pewarna rambut yang berada di pasaran sekarang?
    pernah satu ketika dahulu saya dengar yang mewarnakan rambut tidak dibolehkan kerna pewarna(dye) itu kalis air...

    apa pendapat ustaz?

    soalan kedua, ada juga yang mempersoalkan, seandainya ada label halal bagi sesuatu produk pewarna rambut, adakah halal kita mewarnakan dengannya...?

    apa hukum bagi mereka yang saja-saja mahu mewarna rambut bukan disebabkan oleh uban?

    soalan ketiga, yang menjadi isu adalah apakah hukum mewarnakan rambut dengan alasan mahu mengikut gaya/style artis2 yg kafir?

    ReplyDelete
  2. w`slm..mengikut pengamatan sy yg jahil ni, la`allas showab:

    1-pewarna rambut juga telah mengalami evolusi & tidak semuanya membuatkan kalis air, perlu berhati2 memilih pewarna

    2-halal yg dimaskudkan adalah halal dari segi pemakaian ya`ni tidak bercampur dengan najis kerana syarat utk ibadaat adlah suci, jd sekali lagi diingatkan ..perlu berhati2 memilih pewarna

    3- sabda nabi (maknanya): sesiapa yg menyerupai suatu kaum maka dia dari kalangan mereka

    larangan ini jelas menunjukkan Nabi s.a.w. tidak mahu ummatnya terikut2 dengan budaya kafir sehingga lama-kelamaan kepercayaan dan akidah juga terpesong tanpa disedari hanya dengan mengikut2 budaya mereka yg sebnarnya adalah kepercayaan agama mereka, cth paling senang...memakai seperti santa claus, santarina & sebagainya

    kesimpulannya: tidak harus

    Wallahua`lam!

    ReplyDelete
  3. Bagus atas info yg di berikan

    Keep it up

    ReplyDelete
  4. nice info. tapi sya ada sedikit kekeliruan.. dari pembacaan sya, mewarnakan rambut harus bila ketika untuk mengelirukan musuh. tapi pada zman skrng, musuh untk berperang lain dengan zaman dahulu..

    ada jugak sya terbaca(sya lupa sumbernya) ada mengatakn bahawa uban itu adalah nur bagi muslim.. maka, kita dilarang untuk mencabut uban. adakah pendapat ini betul?

    dan yg sya pernah baca daripada ustaz zaharuddin.net di link ini (http://www.zaharuddin.net/lelaki-&-wanita/189-hukum-mewarnakan-rambut-a-uban.html)kesimpulan hukum yang disimpulkan menyatakan ianya dilarang oleh islam kerana perbuatan ini seperti menipu.

    boleh ulaskan sedikit.. wallahualam.

    ReplyDelete
  5. 1- Soalan pertama saudari sudah terjawab sekiranya saudari membaca dgn teliti artikel di atas, ada hadits-hadits menunjukkan bahawa Rasulullah & para sahabat mewarnakan rambut bukan ketika peperangan. Ini sudah cukup menyangkal dakwaan tersebut.

    2- Kalau ada hadits sekalipun mengatakan uban adalah 'nur' bagi muslim maka hadits itu tentu menjadi syaz kerana bercanggah dengan hadits yg shahih seterusnya tidak cukup kuat utk menjadi hujjah ke atas hadits-hadits shahih muslim ini yang juga dikuatkan oleh hadits2 shahih ktb lain.

    Cuba fikir2kan. Sekiranya benar ia nur, kenapa pula dua orang yang paling rapat dengan Nabi s.a.w. bahkan Khalifah pertama dan kedua (iaitu Saidina Abu Bakar & `Umar) mewarnakan rambut mereka (menurut hadits Shahih Muslim: Bab Uban Nabi s.a.w) bahkan Rasulullah s.a.w. sendiri ada mewarnakan rambut menurut hadits shahih yg lain, adakah mereka tidak mahu 'nur' yg dimaksudkan ada pada rambut mereka? Siapa yang lebih pandai tentang Sunnah daripada Nabi dan para sahabat?

    3- Tidak timbul persoalan menipu ataupun tidak, ia termasuk dlm usul mencantikkan diri kerana baginda s.a.w suka ummatnya cantik & kemas. Tambahan pula apa yg disebutkan adalah dari hadits2 yang shahih.

    'tipu' yg dimaksudkan brkenaan mewarnakan rambut mungkin berkait dengan hamba, pada masa dahulu ya`ni ketika wujudnya perhambaan sesetengah penjual hamba mewarnakan rambut hamba-hamba yg akan dijualnya untuk memperdayakan pembeli dan ini tidak ada kaitannya dengan zaman kita yg terdiri daripada orang yang merdeka sahaja.

    & sudah sy sebutkan di atas bahawa artikel ini adalah sinopsis dari kuliah hadits Shahih Muslim ini (Bab Uban Nabi s.a.w.), Ini bermakna kenyataan ini dibuat berdasarkan hadits shahih muslim (& juga ktb2 shahih yg lain)

    Mudah-mudahan ulasan saya yg jahil ini dapat menjelaskan keraguan saudari. Sekiranya saudari masih belum berpuas hati maka saudari boleh menonton video tersebut melalui link yang diberikan di atas. Wallahu`alam!

    ReplyDelete
    Replies
    1. kalaw seandainya mewarnakan rambut menggunakan inai daun ,, itu bagaimana hukumnya,,,
      ditunggu penjelasannya

      Delete
  6. ok, terima kasih atas ulasan yang diberikan. hadis yg sahih adalah hadis yang patut diamalkan dan dijadikan sumber rujukan.. mungkin hadis yang sya jumpa berkenan 'nur' itu tidak sahih. sya pun lupa sumber hadis tu dari mana. apa2 pun terima kasih untk penerangan yang diberikan.

    ReplyDelete
  7. Untuk lebih memudahkan, di sini saya sertakan link utk mendapatkan matan hadits tersebut dan juga terjemahannya (sila tonton video pada pautan ini utk terjemahan hadits2)

    Sahih Muslim Kitab Fadhail Sesi 11 Bab Uban Nabi S.A.W. http://www.darulkautsar.net/3599-Sahih_Muslim_Kitab_Fadhail_Sesi_11_Bab_Uban_Nabi_S.A.W..html

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum Ibnu hasan boleh sy share artikel ni di blog sy.. :)

    ReplyDelete
  9. "Warna adalah mengikut warna asal rambut mengikut kaum masing-masing supaya sampai maksud dan tujuannya."

    saya rasa ayat ini agak 'ayat pendapat'... maafkan saya... tapi kalau boleh, kurangkan... sebab artikel2 saudara yg lain kuat dan kurang pendapat sendiri, jadi xd masalah dan tmbh pengetahuan saya juga... tapi cuma sesetengah tu je yg ad ayt2 pendapat ni...

    nyway...
    Sebahagian daripada perkara yang tergolong di dalam masalah perhiasan ialah mewarnakan rambut atau janggut yang telah beruban. Tetapi dengan warna apa dibenarkan mewarna rambut? Apakah dengan warna hitam atau warna-warna lain? Atau mesti mengelakkan dengan warna hitam? Orang yang telah tua, ubannya telah merata sama ada di kepala ataupun di janggut, tidak selayaknya mewarnakannya dengan warna hitam. Oleh itu, ketika Abu Bakar membawa bapanya Abu Qufahah ke hadapan Nabi s.a.w. pada hari penaklukan Mekah, Nabi melihat rambutnya seperti pokok Thughamah yang terlalu putih buah dan bunganya. Nabi bersabda: "Ubahlah ini (uban) tetapi jauhilah warna hitam." (HR Muslim).
    Manakala mereka yang tidak sebaya dengan Abu Qufahah, tidaklah berdosa apabila mewarna rambutnya dengan warna hitam. Dalam masalah ini al-Zuhri telah berkata: "Kami mewarna rambut dengan warna hitam apabila wajah masih kelihatan muda, tetapi apabila wajah sudah berkedut dan gigi sudah goyang, kami tinggalkan warna hitam." (Fathul Bari)
    an di dalam sebuah hadis riwayat Abu Zar mengatakan: Sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mewarna uban ialah pokok inai dan katam." (HR Tarmizi dan ash-habusunan) Katam adalah sejenis pokok yang tumbuh di Yaman yang mengeluarkan pewarna berwarna hitam kemerah-merahan. Dan Inai sejenis pokok berdaun yang mengeluarkan warna merah. Anas bin Malik meriwayatkan, bahawa Abu Bakar mewarna rambutnya dengan inai dan katam, manakala Umar hanya dengan inai sahaja.

    Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
    "daripada Abu Hurairah r.a katanya: "Nabi saw bersabda: " Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak mencelup (rambut dan janggut mereka), kerana itu buatlah kelainan daripada mereka"(HR Bukhari & Muslim)
    "Daripada Jabir bin Abdullah katanya: "Pada hari penaklukan Mekah dibawa Abu Quhafah ke hadapan Rasulullah saw dengan rambut dan janggutnya memutih seperti 'tsaghamah' (sejenis tumbuhan bunga dan buahnya berwarna putih seperti putih uban). Maka Rasulullah saw bersabda: "Celuplah (rambut dan janggut) kamu selain dengan warna hitam." (HR Bukhari & Muslim)
    "Akan ada satu kumpulan orang berinai dengan warna hitam pada akhir zaman (seperti sekarang) seperti dada burung merpati yang hitam, mereka tidak dapat mencium bau syurga." (HR Bukhari & Muslim)

    (sambung)

    ReplyDelete
  10. Ulama telah berbeza pandangan dalam hal ini seperti berikut :-
    1. Makruh
    Ia adalah pandangan Mazhab Maliki, Abu Hanifah, sebahagian ulama Syafie seperti Imam Ghazali, Al-Baghawi.
    Tetapi kiranya ia dibuat untuk tujuan menakutkan musuh di dalam peperangan ia adalah HARUS.
    Dalil mereka :
    a) Sabda Nabi SAW : “Tukarlah ia (warna rambut, janggut & misai ) dan jauhilah dari warna hitam” (Shohih Muslim)
    b) Berkata Ibn Umar ra : “Kekuningan pewarna para mukmin, kemerahan pewarna para Muslimin, Hitam pewarna puak Kuffar” (Riwayat At-Tobrani, Al-Haithami)
    c) Nabi SAW bersabda : “Barangsiapa yang mewarnakan rambutnya dengan warna hitam, nescaya Allah akan menghitamkan wajahnya di akhirat kelak” (Al-Haithami, bagaimanapun Ibn Hajar berkata seorg perawinya agak lemah, bagaimanapun rawi tersebut diterima oleh Imam Yahya Mai’en dan Imam Ahmad)
    d) Dalil aqal, ia dikira suatu penipuan.
    2. Haram
    Ia adalah pandangan Mahzab Syafie. Dikecualikan kiranya utk jihad. Mereka berdalil dengan dalil kumpulan pertama tadi.
    3. Harus tanpa Makruh
    Ia adalah pandangan Imam Abu Yusof dan Ibn Sirin.
    Dalil mereka :
    a) Sabda Nabi SAW : “Sebaik-baik pewarna yang kamu gunakan adalah warna hitam ini, ia lebih digemari oleh isteri-isteri kamu, dan lebih dpt menakutkan musuh” (Riwayat Ibn Majah, bagaimanapun ia adalah hadith Dhoif)
    b) Diriwayatakan bahawa sahabat dan tabi’ein ramai juga yang mewarnakan rambut mereka dengan warna hitam. Antara Sa’ad, ‘Uqbah bin ‘Amir, Az-Zuhri dan diakui oleh Hasan Al-Basri. (Lihat Fath al-Bari, Majma’ az-Zawaid dan Tahzib al-Athar oleh At-Tabari)

    ReplyDelete
  11. yang di atas tadi ialah tentang mewarna rambut hitam, bukan umum kepada warna rambut...

    "Kalau ada hadits sekalipun mengatakan uban adalah 'nur' bagi muslim maka hadits itu tentu menjadi syaz kerana bercanggah dengan hadits yg shahih seterusnya tidak cukup kuat utk menjadi hujjah ke atas hadits-hadits shahih muslim ini yang juga dikuatkan oleh hadits2 shahih ktb lain."

    ayat ni kelihatan agak kasar sedikit... sebaiknya, jawab je soalan tu...
    sebenarnya, tentang uban tu adalah tentang hadith larangan mencabut uban, lain dgn warna rambut...

    dari ‘Abdullah bin ‘Umar. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
    الشيب نور المؤمن لا يشيب رجل شيبة في الإسلام إلا كانت له بكل شيبة حسنة و رفع بها درجة
    “Uban adalah cahaya bagi seorang mukmin. Tidaklah seseorang beruban (walaupun sehelai) dalam Islam melainkan setiap ubannya akan dihitung sebagai suatu kebaikan dan akan meninggikan darjatnya.” (HR Al Baihaqi dalam Syu’abul Iman. Syaikh Al Albani dalam Al Jami’ Ash Shogir mengatakan bahwa hadits ini hasan)

    Ibnu Hibban membawakan hadits berikut. Dari Abu Hurairah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
    لا تنتفوا الشيب فإنه نور يوم القيامة ومن شاب شيبة في الإسلام كتب له بها حسنة وحط عنه بها خطيئة ورفع له بها درجة
    “Janganlah mencabut uban kerana uban adalah cahaya pada hari kiamat nanti. Siapa saja yang beruban dalam Islam walaupun sehelai, maka dengan uban itu akan dicatat baginya satu kebaikan, dengan uban itu akan dihapuskan satu kesalahan, juga dengannya akan ditinggikan satu darjat.” (HR. Ibnu Hibban dalam Shahihnya. Syaikh Syu’aib Al Arnauth mengatakan bahwa sanad hadits ini hasan)

    Dari ‘Amr bin Syu’aib, dari ayahnya, dari datuknya berkata bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
    لَا تَنْتِفُوا الشَّيْبَ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَشِيبُ شَيْبَةً فِي الْإِسْلَامِ إِلَّا كَانَتْ لَهُ نُورًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ
    “Janganlah mencabut uban. Tidaklah seorang muslim yang beruban dalam Islam walaupun sehelai, melainkan uban tersebut akan menjadi cahaya baginya pada hari kiamat nanti.” (HR. Abu Daud dan An Nasa’i. Syaikh Al Albani dalam Al Jami’ Ash Shagir mengatakan bahwa hadits ini shahih)

    Sekian... As salam...

    ReplyDelete
  12. lupe pulak... cabut uban makruh, x haram rseny...

    ReplyDelete
  13. As Salam, Bolehkan perempuan menginai rambut merah? (inai)

    ReplyDelete
  14. salam kenal..
    Infonya sangat menarik sekalai ya, tp kalau terlalu sering berganti warna rambut apakah ada efek sampingnya..
    dan kalau untuk tips memilih kaos kaki muslimah motif warna-warni yang keren itu seperti apa ya...

    ReplyDelete
  15. Assalamualaikum. Boleh tak lelaki yang berambut hitam menginaikan rambut dengan warna inai yang lain.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...