Adaptasi dari Kuliah Muslim Bab Perkahwinan Zainab Binti Jahsy Dan Turunnya (Ayat) Hijab Dan Bab Membuktikan Adanya Kenduri Kahwin oleh Maulana Muhammad `Asri Yusoff. Klik Gambar Di bawah Untuk Video
Ada banyak masalah yang perlu diselesaikan berhubung perkara ini yang mana sekiranya tidak diselesaikan boleh menimbulkan banyak kekeliruan. Peristiwa ini juga ada disebutkan di dalam al-Quran yang sama sekali tidak boleh dipisahkan dengan hadits sebagai rujukan untuk menghilangkan kekeliruan yang berlaku.
Ulama`-ulama` berbeza pendapat dalam menafsirkan ayat tersebut sehingga ada yang memberi pendapat yang amat baik dan ada juga yang mencampur adukkan dengan cerita-cerita yang karut berhubung dengan peristiwa ini.
Timbul persoalan; Apakah punca yang menyebabkan perbezaan pendapat dalam menafsirkan ayat tersebut? Salah satu sebabnya adalah kerana terpengaruh dengan hadits-hadits yang tersebar dengan meluas berhubung dengan perkara ini. Bagi ulama` yang bermudah-mudah dalam penerimaan hadits maka mereka mengambil mana-mana hadits sahaja sehingga tafsiran tersebut boleh membawa kepada bahaya.
Firman Allah:
وَإِذْ تَقُولُ لِلَّذِي أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَأَنْعَمْتَ عَلَيْهِ أَمْسِكْ عَلَيْكَ زَوْجَكَ وَاتَّقِ اللَّهَ وَتُخْفِي فِي نَفْسِكَ مَا اللَّهُ مُبْدِيهِ وَتَخْشَى النَّاسَ وَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ تَخْشَاهُ فَلَمَّا قَضَى زَيْدٌ مِنْهَا وَطَرًا زَوَّجْنَاكَهَا لِكَيْ لَا يَكُونَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ حَرَجٌ فِي أَزْوَاجِ أَدْعِيَائِهِمْ إِذَا قَضَوْا مِنْهُنَّ وَطَرًا وَكَانَ أَمْرُ اللَّهِ مَفْعُولًا
“Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang Allah telah kurniakan nikmat (Islam) kepadanya dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: “Tahanlah isterimu[1] itu dan bertaqwalah kepada Allah, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya) dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku. [ al-Ahzab : 37 ]
Sekiranya kita perhatikan ayat ini, maka jelaslah dimana berlakunya khilaf dan tafsiran manakah yang lebih elok dan selamat untuk diterima pakai.
Ayat tersebut menyebutkan “Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang Allah telah kurniakan nikmat (Islam) kepadanya dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: “Tahanlah isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah” ya`ni berdasarkan ayat ini jelas menunjukkan bahawa Zaid iaitu anak angkat kepada Rasulullah s.a.w. telah datang kepada baginda dan memberitahu bahawa beliau mahu menceraikan isterinya lalu baginda berkata: “Tahanlah isterimu itu” yang bermaksud jangan ceraikan isterimu. Ini adalah kerana cerai bukanlah suatu perkara yang baik pada asalnya tetapi hanya diharuskan sebagai jalan keluar apabila sudah darurat.
Dan firman-Nya lagi yang bermaksud: “sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya).” Ya`ni Allah kahwinkan Nabi s.a.w. dengan Zainab supaya ummat Islam tidak keberatan untuk menikahi janda-janda kepada anak-anak angkat mereka. Ini adalah kerana ia merupakan suatu yang haram dan keaiban yang besar dalam amalan Jahiliyyah.
Kebanyakan ulama` dan ahli-ahli tafsir dalam mana-mana bahasa menyebutkan ayat (yang bermaksud) “sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya,” sebagai kata-kata Allah kepada baginda s.a.w. sedangkan sebenarnya ianya masih lagi nukilan daripada kata-kata Rasulullah s.a.w. kepada Zaid. Seolah berlakunya iltifat[2] ya`ni pemalingan secara tiba-tiba iaitu daripada percakapan Nabi s.a.w. kepada kata-kata Allah kepada baginda s.a.w.
Kemudian timbul pula persoalan; “Kenapa Allah s.w.t mengatakan kepada Nabi s.a.w: “sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan nyatakan nanti”? Bagi ahli tafisr dan ulama`-ulama` yang tidak berhati-hati dalam masalah hadits maka mereka mengaitkannya dengan mana-mana hadits yang mereka terima sehingga ada yang mengatakan bahawa:
“Pernah suatu ketika Nabi s.a.w. pergi ke rumah Zaid dan kebetulannya Zaid tiada dan pada ketika itu Zainab sedang menanggalkan pakaiannya dan kejadian ini dilihat oleh Nabi s.a.w. lalu baginda jatuh hati kepada Zainab. Selepas itu Zaid pun timbul rasa tidak berkenan pada isterinya dan pergi berjumpa dengan Nabi s.a.w. dan berkata: “Wahai Rasulullah! Kalau engkau berkenan dengannya maka aku akan ceraikannya”
Perkara ini ada disebutkan dalam Tafsir Tobari, Tarikh Tobari dan tafisr-tafsir lain. Adakah munasabah berlakunya peristiwa ini kepada Nabi s.a.w.?
Dan ada juga cerita yang agak sederhana seperti:
“Sebenarnya Nabi s.a.w. sudah lama berkenan pada Zainab tetapi baginda hanya menyimpannya di dalam hati sehingga Zainab akhirnya berkahwin dengan Zaid. Apabila keretakan rumahtangga yang dibina oleh Zaid bersama Zainab sampai kepada Nabi s.a.w. maka sebagai manusia biasa timbul di dalam hatinya bahawa Zainab lebih patut dan lebih sesuai menjadi isterinya kerana Zainab berketurunan bangsawan sedangkan Zaid asalnya hamba.”
Bolehkah kita menerima bahawa inilah akhlak baginda s.a.w. terhadap isteri orang dengan kedudukannya sebagai Nabi? Apakah sesuai sifat-sifat ini dengan kedudukannya yang tinggi lagi suci? Sekiranya kita tidak sensitif dengan kesucian kedudukan Nabi s.a.w maka tiada faedahnya kita belajar hadits dan al-Quran sedangkan kita tidak memelihara kesucian kedudukannya dari sebarang keaiban. orang biasa yang berakhlak baik pun kita sanggup memeliharanya dari keaiban, inikan pula baginda s.a.w.
Maka di sini jelas menunjukkan ayat tersebut masih bersambung dan termasuk dalam kata-kata Nabi s.a.w. kepada Zaid dan bukannya iltifat. Iltifat kebiasaannya memerlukan sebab untuk berlakunya iltifat dan disini tidak wujud sebarang sebab sebaliknya membawa kepada keadaan yang lebih buruk maka tiada guna adanya iltifat.
Maksud yang paling sesuai bagi ayat ini ini adalah Nabi s.a.w. mengatakan kepada Zaid: “engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan nyatakan nanti,” menyembunyikan sesuatu kerana perkara antara suami isteri begitu sulit. Umpamanya, begitu banyak sekali kes perceraian berlaku yang disebabkan oleh perkara lain tetapi lain pula yang dikemukakan di mahkamah, media dan sebagainya. Masing-masing menyembunyikan sesuatu dan takut diketahui orang
Zaid bukanlah berketurunan hamba, tetapi pada zaman itu puak yang kalah dalam peperangan dan ditawan akan dijadikan hamba. Maka orang yang lahir dari pasangan hamba adalah berketurunan hamba sedangkan Zaid ditawan ketika kecil dan dibawa lari kemudiannya dijual. Beliau kemudiannya dibeli oleh Saidatina Khadijah. Saidatina Khadijah kemudiannya menghadiahkannya kepada Nabi s.a.w.
Kemudian ibubapa Zaid mendapat tahu tentang Zaid lalu mencarinya dan berjumpa dengan Nabi s.a.w. Mereka pun bercerita tentang silsilah (rantaian) keluarga mereka kepada baginda s.a.w. dan mereka mengajak Zaid pulang bersama mereka. Nabi s.a.w. berkata: “Terpulanglah kepadanya, sama ada dia mahu pulang atau mahu tinggal disini bersamaku.” Lalu Zaid memilih untuk tinggal bersama Nabi s.a.w.
Selepas kejadian itu Zaid dimerdekakan dan oleh kerana Nabi s.a.w. begitu berkenan kepada Zaid dan Zaid juga sangat sayang kepada baginda lalu Nabi s.a.w. membawanya ke hadapan orang ramai dan mengisytiharkan bahawa Zaid adalah anak angkatnya. Pada ketika itu anak angkat boleh menerima pesaka daripada ayah angkat sebagaimana anak kandung juga, begitu juga dengan ayah angkat yang boleh menerima pesaka daripada anak angkat.
Bahkan ramai orang memanggil Zaid bin Muhammad selepas itu. Nabi s.a.w. mahu masyarakat menerima bahawa Islam tidak membezakan antara darjat sama ada bangsawan ataupun hamba bahkan kelebihan pada seseorang itu hanyalah dengan taqwanya kepada Allah s.w.t.
Walaupun baginda sudah menerapkannya tetapi masyarakat sekeliling pada waktu itu masih sukar menerimanya dan memandang sebelah mata kepada orang menikahi bekas hamba. Bagi mereka orang yang sebegini berkemungkinan ‘tidak laku’ atau tidak ada orang bangsawan yang mahukannya. Dengan sebab itulah dalam hadits pernah Nabi s.a.w. sebutkan bahawa tiga jenis orang yang mendapat dua pahala, salah satunya adalah orang yang ada hamba, kemudian dia ajar kepada hamba itu adab dan berbagai ilmu dan selepas itu dia memerdekakannya dan menikahinya.
Antara sebab dia mendapat dua pahala adalah kerana beratnya sangkaan masyarakat kepadanya, seperti dipandang hina dan sangkaan bahawa orang yang melakukan perkara ini sebenarnya tidak mampu untuk berkahwin dengan orang biasa yang mahal mas kahwinnya sebaliknya lebih murah sekiranya menikahi hamba. Perkara-perkara seperti cantik, pangkat, darjat dan harta menjadi perkiraan dalam mana-mana masyarakat dan pada setiap zaman cuma yang membezakannya hanyalah tebal atau nipisnya sahaja dalam amalan masyarakat.
Untuk mengubah masyarakat maka Nabi s.a.w. tidak dapat tidak menggunakan orang lain kerana beliau juga adalah ahli masyarakat. Setelah difikirkan maka baginda merasa Zaid adalah orang yang paling sesuai pada masa itu, dengan sebab itulah Allah berfirman:
وَأَنْعَمْتَ عَلَيْهِ
(yang bermaksud: Orang yang telah banyak engkau berbudi kepadanya)
Ya`ni Zaid yang mana telah dimerdekakan, dibuat anak angkat dan kemudian dikahwinkan pula kepada sepupu Nabi s.a.w. iaitu Zainab anak kepada ibu saudaranya iaitu Umaimah binti Abdul Muttolib. Ini menunjukkan bahawa Zainab adalah berketurunan bangsawan Quraisy iaitu qabilah terkemuka pada waktu itu. Zainab pada mulanya enggan berkahwin dengan Zaid tetapi apabila turunnya ayat:
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا
Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. [ al-Ahzab : 36 ]
Maka Zainab dan keluarganya akur dengan keputusan Nabi s.a.w. dan kemudian Zaid pun berkahwin dengan Zainab. Rupa-rupanya hikmah Allah Ta`ala tiada siapa yang tahu. Apabila duduk sekali maka timbul masalah kerana teori lebih mudah dari alam praktikal.
Maka timbul pula cerita seperti dalam sesetengah riwayat bahawa Zainab adalah jenis orang yang lancang mulutnya tetapi selepas bernikah dengan Nabi s.a.w. tidak pula nyata sifatnya itu dalam mana-mana riwayat.
Bagi kebanyakan ulama` dan ahli tafsir mereka mengatakan bahawa Nabi s.a.w. telahpun tahu bahawa Zainab akan menjadi isterinya, oleh sebab itu Allah berfirman;
“sambil engkau menyebunyikan di dalam dirimu apa yang akan Allah nyatakannya nanti,” ya`ni Nabi s.a.w. sembunyikan pengetahuannya bahawa Zainab akan menjadi isterinya sedangkan sebenarnya Nabi tidak tahu lagi pada masa itu dan ketika Nabi s.a.w. menjodohkan Zaid dengan Zainab ayat tersebut[3] masih belum turun dan pernikahan Zaid dan Zainab telah lama berlaku sebelum turunnya ayat itu, jadi bagaimana pula boleh dikatakan baginda tahu tentang perkara ini?
Selain itu untuk menunjukkan Nabi s.a.w. mengetahuinya memerlukan dalil yang kukuh dan bukannnya andaian semata-mata.
Ada juga dakwaan yang mengatakan Zaid mandul. Setengah ulama` mengatakan hanya setahun lebih sahaja tetapi pendapat ini tidak tepat. Yang tepat adalah perkahwinannnya bertahan selama bebelas tahun kerana Zaid menikahi Zainab pada awal kenabian iaitu sama ada pada tahun pertama, kedua atau ketiga kenabian. Bahkan kisah tentangnya sehingga zaman kemudian disebut-sebut dan dipertikaikan kerana Usamah iaitu anak kepada Zaid bin Haritsah tidak serupa dengan Zaid.
Usamah adalah anak kepada Ummu Aiman yang juga adalah hamba bebasan Nabi s.a.w. jadi orang yang memang ingin memburuk-burukkan Zaid mengambil kesempatan dari keadaan ini. Perkara ini sebenarnya bagi orang-orang mukmin tetapi hanya menjadi masalah kepada orang-orang munafiq sahaja kerana baginda pernah bersabda bahawa; “Sesiapa yang ingin melihat perempuan ahli syurga maka kamu lihatlah kepada Ummu Aiman.” Ini menunjukkan beliau seorang yang solehah dan inilah sebab yang menyebabkan Zaid berkenan pada Ummu Aiman.
Sudah menjadi adat kebiasaan bahawa orang yang punya darjat dan kelebihan tidak akan mengaitkan diri mereka dengan kekurangan sebaliknya mengaitkannya dengan orang lain, kalupun tidak Zainab sendiri maka keluarganya pasti tidak mahu kekurangan ini dikaitkan dengan Zainab.
Pada suatu hari ketika Zaid dan Usamah sedang tidur dengan menutupkan muka mereka dan yang kelihatan hanyalah kaki mereka. Kemudian seorang Qaif[4] datang melihat kaki Zaid dan Usamah lalu dia berkata: “Kedua-dua mereka ini ada pertalian darah, tentu mereka ini ayah dan anak.” Maka Nabi s.a.w. begitu gembira lalu memberitahunya kepada sahabat-sahabat dan isterinya tentang seorang Qaif mengatakan mereka ada pertalian darah kerana ramai yang mengatakan bahawa Zaid ini mandul dan Usamah bukannya anak Zaid.
Perkara inilah barangkali yang disembunyikan. Ada juga riwayat dhaif yang menyebutkan bahawa Zainab berkata: “Aku tidak boleh duduk sekali dengan Zaid kerana Zaid tidak mampu mendekatiku. Dan kalau dia mahu mendekatiku maka tidak menjadi.” Riwayat ini menunjukkan Zainab mendakwa bahawa kelemahan dipihak Zaid. Tetapi hadits sangat lemah dan tidak boleh diterima kerana beberapa sebab:
i. Umum pada masa itu mengetahui bahawa Zaid tidak mandul kerana telahpun mempunyai anak dengan Ummu Aiman iaitu Usamah. Sekiranya orang munafiq tidak boleh menerimanya, apakah dia juga tidak boleh menerimanya.
ii. Zaid bernikah lagi dengan tiga orang lain dan mendapat dua orang anak anak lagi.
iii. Riwayat ini juga jelas memburuk-burukkan keperibadian Zainab
Perceraian Zainab dan Zaid adalah pada tahun ke-5 Hijrah dan Zaid syahid dalam peperangan Mu`tah pada tahun ke-8 Hijrah.
Tiga orang perempuan lain yang dikahwini Zaid adalah:
i. Anak Abu Lahab yang bernama Durrah
ii. Hindun, adik beradik kepada Zubair bin al-`Awwam
iii. Anak kepada Uqbah yang bernama Ummu Kulsum dan dengannya beliau mendapat dua orang anak yang bernama Zaid bin Zaid dan Ruqayyah binti Zaid dan jelas ini selepas perceraiannya dengan Zainab
Rasulullah s.a.w. menikahi Zainab pada ketika Zainab masih belum putus haid tetapi tidak mendapat anak dengannya. Menurut riwayat-riwayat umur Zainab pada ketika itu adalah 35 atau 38 tahun berdasarkan khilaf tentang masa kematiannya.
Pernikahan Rasulullah s.a.w. dengan Zainab adalah selepas perceraian Zainab dengan Zaid selama tiga atau empat tahun menurut pendapat yang lebih tepat dan bukannya seperti pendapat sesetengah ulama` yang mengatakan pernikahan Nabi s.a.w. dengan Zainab adalah selepas habis `idahnya sebagaimana zahir hadits dan inilah yang lebih munasabah kerana Nabi s.a.w. menghantar Zaid sendiri untuk meminang Zainab. Maka tempoh masa yang agak lama tidaklah membuat Zaid atau Zainab agak terkilan.
Selain itu Zaid juga diutuskan supaya apa yang keruh dapat dijernihkan kembali kerana bagi Zainab Zaidlah yang menghancurkan kebahagiaannya dan apabila Zaid yang meminangnya untuk Nabi s.a.w. maka kelihatannya seperti Zaid membina kembali kebahagiaan yang diharap-harapkan oleh Zainab.
Perkara seperti ini ada juga disebutkan dalam sekian banyak riwayat yang menunjukkan bahawa Zainab memang mahukan Nabi s.a.w. sebagai suaminya bahkan beliau menyangka bahawa pinangan Nabi s.a.w. pada mulanya adalah untuk diri sendiri tetapi sebaliknya adalah untuk Zaid. Ini membuatkannya patah hati.
Bahkan sesetengah ulama` menyebutkan bahawa dia termasuk antara perempuan yang pergi menyerah diri kepada Rasulullah s.a.w. Jadi pernikahan Nabi s.a.w. dengannnya juga untuk menghiburkan dan mengubati hatinya yang kecewa dengan rumahtangganya yang terdahulu. Selain itu perkahwinan ini juga menghapuskan amalan yang mengharamkan perkahwinan dengan bekas isteri anak angkat.
Antara lain, kesalahan dalam tafsiran biasa membawa kepada maksud dan pengertian yang bahaya:
Firman-Nya yang bermaksud: “sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya).
- Apakah munasabah bahawa kata-kata ini adalah kata-kata Allah kepada Nabi s.a.w? Adakah baginda takut kepada cacian orang ramai sehingga sanggup menyembunyikan wahyu? Atas dasar apa pula yang baginda takutkan? Adakah kerana takut bercanggah dengan adat kebiasaan? Tetapi kenapa pula Nabi s.a.w. tidak takut untuk mengatakan Allah itu satu dan tiada Tuhan yang berhak disembah melainkannya? Bukankah nabi-nabi dan rasul-rasul itu hanya takut kepada Allah?
- Sekiranya betul baginda telah lama mengetahui tentang pernikahannya dengan Zainab maka dimana pula wahyu yang disembunyikan, dimanakah hadits atau ayat al-Quran yang dimaksudkan? Adakah Nabi s.a.w. bersifat menyembunyikan wahyu
- Apakah sifat Nabi s.a.w. menyembunyikan rasa suka kepada isteri orang yang mana Allah akan nyatakan nanti kerana takutkan orang? Pada zahirnya kelihatan baginda mengatakan ‘jangan ceraikan’ tetapi dalam hati baginda menyukainya. Ini bermakna baginda berpura-pura dan telah meletakkan batu asas taqiyyah sebagai amalam dalam Islam.
Berdasarkan persoalan-persoalan ini maka seakan menuduh Nabi s.a.w. secara tidak langsung sebagai orang yang berpura-pura, menyembunyikan sesuatu dan takut kepada orang ramai lebih dari takutkan Allah s.w.t.
Selain itu ada juga dakwaan yang dikaitkan dengan ayat tadi iaitu ‘Perkahwinan Nabi s.a.w. dengan Zainab tidak seperti orang biasa bahkan beliau dimuliakan oleh Allah kerana kononnya Allah sendiri yang menikahkannya dengan Nabi s.a.w. dengan tanpa jurunikah, wali dan juga saksi. Dalilnya زَوَّجْنَاكَهَا (yang bermaksud: Kami kahwinkan engkau dengannya)
Padahal ini tidak boleh dijadikan dalil dengan beberapa sebab:
i. Ayat-ayat seperti ini tidak boleh dijadikan dalil bahawa peristiwa ini luar dari batas kebiasaan. Sebagai contoh: Ayat .. (Dialah (Allah) yang menjadikan kamu) tidak bermaksud bahawa semua kita dijadikan dalam keadaan yang luar biasa iaitu tanpa melalui pernikahan dan sebagainya bahkan semuanya mengikut peraturan.
ii. Dalam kitab-kitab hadis dan sirah ada menyebutkan bahawa saudara kepada Zainab iaitu Abu Ahmad Ibnu Jahsy telah menjadi wali kepada Zainab dalam pernikahannya dengan Nabi s.a.w. Baginda juga memberikan mas kahwin sebanyak 400 dinar kepadanya dan mengadakan kenduri kahwin.
Ini menunjukkan bahawa ayat tersebut bukanlah dalil kepada keistimewaan pernikahan Nabi s.a.w. dengan Zainab dengan erti tiada mas kahwin, saksi maupun akad.
Antara pendapat ulama` tentang saksi, mas kahwin dan juga akad berhubung peristiwa ini:
i. Imam malik berpendapat bahwa tidak syarat saksi, yang disyaratkan adalah i`lan dan adakah disini masih belum cukup i`lan sedangkan turun ayat yang cukup terang tentangnya manakala sahabat-sahabat yang begitu ramai menerima ayat ini pula adalah saksinya.
ii. Imam Abu Hanifah pula berpegang dengan hadits ‘الْأَيِّمُ أَحَقُّ بِنَفْسِهَا مِنْ وَلِيِّهَا’yang bermaksud: “Jandi lebih berhak terhadap dirinya daripada walinya”[5]. Sekiranya kita masih enggan menerima riwayat yang menunjukkan bahawa Abu Ahmad bin Jahsy menjadi wali maka masih tiada masalah kerana beliau boleh menjadi wali kepada dirinya sendiri.
iii. berkenaan mas kahwin pula: يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَحْلَلْنَا لَكَ أَزْوَاجَكَ اللَّاتِي آَتَيْتَ أُجُورَهُنَّ Wahai nabi! Sesungguhnya Kami telah halalkan kepada engkau isteri-isteri yang telah engkau berikan mas kahwin kepadanya (al-Ahzab:50). Ayat ini ditujukan kepada Nabi s.a.w. dan tidak ada disebutkan pengecualian kepada mana-mana isteri-isteri baginda s.a.w. termasuk Zainab
iv. Berkenaan mas kahwin tidak disebut dalam akad, adakah mesti disebut dalam akad nikah? Yang mesti adalah bagi, sama ada yang beri segera atau bertangguh (mu`ajjal atau muajjal). Tidak sebut mas kahwin tidak mesti tiada mas kahwin.
v. Sesetengah mereka berpendapat bahawa adalah menjadi keistimewaan Zainab bahawa pernikahannya dengan Nabi s.a.w. tidak menggunakan mas kahwin, akad dan saksi bahkan baginda boleh masuk terus menemui Zainab sedangkan adalah tidak munasabah Nabi s.a.w. masuk tanpa izin jika Zainab masih belum menjadi isterinya. Adakah logik dan elok baginda melakukan demikian? Ini tidak dapat diterima akal kecuali baginda telahpun memberitahu tentang ayat al-Quran yang berkaitan dan tidak timbul tentang Nabi menyembunyikan sesuatu dalam hatinya. Tidak timbul persoalan bahawa Zainab tidak menerima ketetapan ini sedangkan ia juga adalah perintah dari Allah dan Rasul-Nya sama seperti pernikahannya dengan Zaid sebelum ini.
vi. Kenduri ini adalah kenduri paling besar berdasarkan hadits sahih Muslim didalam bab ini. Selain itu perbuatan baginda terus masuk itu adalah kerana Zainab sudahpun menjadi isterinya dan ini diketahui umum. Adalah suatu yang amat pelik dan jelek sekiranya kita menerima bahawa perkahwinan baginda dengan Zainab masih belum diketahui tetapi baginda masuk terus menemui Zainab sebagai suatu keistimewaan. Ini sekan membuka peluang kepada orientalis untuk mengkritik dan mencela cara hidup Nabi s.a.w, mereka mungkin boleh mengatakannya sebagai suatu perbuatan yang gelojoh dan tidak bermoral, seolah-olah baginda tidak boleh bersabar untuk bertemu dengan Zainab.
Ini menunjukkan kadang-kadang hadits boleh mengelirukan sekiranya tidak dikaji dan difahami dengan lebih mendalam. Begitu juga dengan ayat al-Quran sekiranya hanya difahami berdasarkan zahir ayat sahaja. Sifat berhati-hati dan teliti dalam penerimaan hadits juga amat perlu supaya jauh dari kekarutan yang membahayakan akidah ummat Islam.
Cerita-cerita berkenaan perkahwinan Zainab binti Jahsy ini adalah bukti jelas dimana kecuaian dalam tafsir, terjemahan dan pemahan hadits boleh menjebakkan kita ke dalam kesesatan tanpa kita sedari.
Adaptasi dan saringan oleh Mohd Nazri Bin Hasan
[1] Ya`ni baginda menggunakan bahasa yang lebih halus tetapi maksudnya sama iaitu ‘Jangan ceraikan isterimu itu’
[2] Iltifat adalah salah satu istilah Balaghah:
· al-Zarkasyi mendefinisikan iltifat dengan “Peralihan pembicaraan dari satu bentuk ke bentuk lainnya, demi menyajikan kesegaran dan variasi bagi pendengar untuk memperbaharui perhatiannya, dan untuk menjaga fikirannya dari rasa jemu dan membosankan kerana mendengar pembicaraan secara terus menerus”
· Menurut Abdul al-Mu’thy ‘Azafah iltifat adalah: “Beralihnya pembicara dari menggunakan bentuk mukhatabah (dialogis) kepada tutur ikhbar (informatif) dan dari ikhbar kepada mukhatabah dan sebagainya.” - Mardjoko Idris, Al-Balaghah: Kajian Ayat-ayat Iltifat dalam Al-Qur’an, (Yogyakarta: Penerbit Belukar, 2009), Hal.15
[3] Al-Ahzab : 37
[4] Ya`ni ahli ilmu qiafah (ilmu firasat)
[5] Riwayat Malik dan Muslim.
No comments:
Post a Comment