Tuesday, September 29, 2009

Kelebihan Sifat Malu



[١٥٢] ٥٧ (٣٥)- حَدَّثَنَا عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ سَعِيدٍ وَعَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ قَالَا حَدَّثَنَا أَبُو عَامِرٍ الْعَقَدِيُّ حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ بْنُ بِلَالٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ دِينَارٍ عَنْ أَبِي صَالِحٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ شُعْبَةً وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنْ الْإِيمَانِ

`Ubaidullah bin Sa`id dan `Abd bin Humaid telah meriwayatkan kepada kami, mereka berdua berkata: Abu `Amir al-`Aqadi telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Sulaiman bin Bilal telah meriwayatkan kepada kami daripada Abi Soleh daripada Abi Hurairah daripada Nabi s.a.w. sabdanya: “Iman itu lebih daripada tujuh puluh cabang besar dan malu adalah satu cabang daripada iman.”


Dalam riwayat-riwayat lain ada menyebutkan iman itu lebih daripada enam puluh cabang, ada juga juga riwayat yang menyebutkan lebih daripada empat puluh cabang ya`ni sebagaimana yang diriwayatkan selain Bukhari dan Muslim iaitu kitab-kitab Sunan seperti Sunan Nasa`ie, Tirmizi dan lain-lain. Riwayat-riwayat ini seakan bercanggah tetapi ini sebenarnya menunjukkan sifat amanah para sahabat yang meriwayatkan hadits yang mereka dengar daripada Rasulullah s.a.w. walaupun ianya sudah mansukh tetapi sesetengah ulama` mengatakan yang paling sahih adalah riwayat yang mengatakan tujuh puluh lebih dan ulama’ berbeza pendapat berhubung makna ‘tujuh puluh lebih’:

i. Ada dari kalangan mereka yang mengatakan ianya memang untuk menunjukkan bilangan cabang iman terhad sampai tujuh puluh lebih

ii. Ada juga yang mengatakan angka ‘tujuh’ adalah simbol kepada maksud banyaknya cabang iman ya`ni sebagaimana yang digunakan dalam kebanyakan ayat al-Quran maupun hadits.

iii. Imam Baihaqi dalam kitabnya Syu`ab al-Iman menyebutkan berdasarkan kajiannya ‘tujuh puluh lebih’ bermaksud tujuh puluh tujuh.

iv. Imam al-Hafiz Ibnu Hibban menolak makna tahdid (had) dengan mengatakan jika dengan makna tahdid kenapa pula disebutkan tujuh puluh lebih dan tidak disebutkan berapakah angka yang lebih itu manakala jika ianya adalah simbol kepada bilangan yang banyak maka kenapa pula ada perkataan ‘lebih’, kerana angka ‘tujuh’ sudah menjadi simbolik dan memberi makna bilangan yang banyak. Dalam kajian Ibnu Hibban dengan mengira setiap hadits dan ayat al-Quran yang mengaitkan dengan amalan yang dikira sebahagian daripada iman semuanya tujuh puluh sembilan. Pada mulanya beliau ada mengira apa yang terdapat dalam hadits yang mengaitkan amalan yang dikira sebagai iman dan semuanya tidak sampai tujuh puluh lebih. Kemudian beliau sembahyang dua rakaat dan kembali mengkaji al-Quran. Beliau membacanya dengan tadabbur dan mengira setiap amalan yang dikaitkan dan dikira sebagai iman serta menolak yang berulang maka selepas itu beliau mendapai semuanya tujuh puluh sembilan.


[١٥٣] ٥٨ (٠٠)- حَدَّثَنَا زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ حَدَّثَنَا جَرِيرٌ عَنْ سُهَيْلٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ دِينَارٍ عَنْ أَبِي صَالِحٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ :قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الْأَذَى عَنْ الطَّرِيقِ وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنْ الْإِيمَانِ

Zuhair bin Harb telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Jarir telah meriwayatkan kepada kami daripada Suhail daripada `Abdillah bin Dinar daripada Abi Soleh daripada Abi Hurairah, katanya: Iman itu lebih tujuh puluh cabang atau lebih enam puluh cabang. Yang paling utama darinya ialah ucapan لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ dan yang paling kurang darinya adalah menghilangkan perkara yang mengganggu daripada jalan dan malu itu adalah satu cabang daripada iman.


[١٥٤] ٥٩ (٣٦)- حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ وَعَمْرٌو النَّاقِدُ وَزُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ قَالُوا حَدَّثَنَا سُفْيَانُ بْنُ عُيَيْنَةَ عَنْ الزُّهْرِيِّ عَنْ سَالِمٍ عَنْ أَبِيهِ سَمِعَ النَّبِيّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا يَعِظُ أَخَاهُ فِي الْحَيَاءِ فَقَالَ الْحَيَاءُ مِنْ الْإِيمَانِ

Abu Bakr bin Abi Syaibah, `Amar al-Naqid dan Zuhair bin Harb telah meriwayatkan kepada kami, mereka berkata: Sufyan bin Uyaynah telah meriwayatkan kepada kami daripada al-Zuhri daripada Salim daripada ayahnya bahawa Nabi s.a.w. mendengar seorang lelaki menasihati saudaranya berhubung malu maka baginda bersabda[1]: “Malu itu adalah sebahagian daripada iman.”


[١٥٥] (٠٠)- حَدَّثَنَا عَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ أَخْبَرَنَا مَعْمَرٌ عَنْ الزُّهْرِيِّ بِهَذَا الْإِسْنَادِ وَقَالَ مَرَّ بِرَجُلٍ مِنْ الْأَنْصَارِ يَعِظُ أَخَاهُ

`Abd bin Humaid telah meriwayatkan kepada kami, katanya: `Abd al-Razzaq telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Ma`mar telah menceritakan kepada kami daripada al-Zuhri dengan isnad ini dan beliau berkata: Beliau lalu berhampiran seorang lelaki Anshor yang menasihati saudaranya.


Dalam hadits tadi ada menceritakan tentang seorang lelaki menasihati saudaranya supaya tidak malu atau mencerca saudaranya kerana malu Imam Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad ada menyebutkan dengan lebih jelas bahawa lelaki itu mencerca saudaranya kerana malu. Kisahnya adalah mengenai seorang sahabat yang ada orang berhutang dengannya dan dia malu untuk meminta walaupun itu haknya maka saudaranya memarahinya kerana malu untuk meminta haknya tetapi mengatakan ‘biarkan’ kerana sifat malu itu menjadikannya bertimbang rasa, dengan sebab itu Nabi menyuruh saudaranya membiarkannya dengan sifat malunya kerana ia membawanya ke arah yang elok.


Sifat malu dalam amalan sudah semakin berkurangan walaupun ianya adalah antara ciri utama budaya ketimuran tetapi oleh kerana ia disalah anggap maka ia terus di tinggalkan lantaran takut dilabelkan sebagai jumud dan mundur.

Sifat malu yang dimaksudkan dalam Islam sebagai sifat yang mulia adalah sifat yang lahir antara sifat takut dan menjaga diri diri daripada dosa dan bukannya seperti yang difahami dari segi bahasa. Sifat malu untuk berdepan dengan kenyataan hidup, malu untuk menyatakan kebenaran bukanlah al-hayaa` yang dimaksudkan dalam hadits bahkan dalam Bahasa Arab ia dipanggil khawar dan sifat tersebut adalah antara sifat yang tercela dalam Islam.


Islam tidak menghalang kemajuan bahkan Islam mendorong ke arah kemajuan yang seimbang dari segi fizikal dan moral manusia. Sifat malu sebagai contoh mampu mendorong manusia ke arah kemajuan yang seimbang di samping mengelak dari tergelincir dari menjalankan tanggungjawab sebagai hamba Allah.

Hadits-hadits tadi jelas menunjukkan sifat malu tersebut adalah sifat yang sangat mulia sehingga ia menjadi salah satu cabang dari cabang iman lantaran kemampuannya menghalang manusia dari melakukan kesilapan. Tetapi bagaimanakah ianya akan berlaku?


Fitrah manusia samada seorang itu beragama Islam atau tidak seseorang itu akan mengenang budi orang lain yang menyelamatkannya atau menolongnya dalam sesuatu masalah. Sebagai contoh seorang yang diselamatkan dari maut semestinya amat mengenang budi orang yang menyelamatkannya bahkan menjadi amat baik dengannya kerana begitu terhutang budi dengan orang yang menyelamatkannya yang kalau tidak kerananya maka mungkin dia sudah tiada lagi di dunia ini. Anak-anaknya akan menjadi yatim dan mereka sudah tidak ada lagi tempat bergantung.

Ini adalah realiti dunia yang mudah untuk kita fahami maka apakah sangat payah untuk kita fahami bahawa Allah Yang Maha Esa telah menyelamatkan kita sepanjang hidup kita?

Tidak terhitung banyaknya budi yang Dia taburkan pada kita dalam bentuk rahmat namun kita masih tidak berterima kasih pada-Nya. Udara yang kita hidrup seandainya dikenakan bayaran maka pastinya ia takkan terbayar walaupun kita mula bekerja dari kecil sehingga mati.


Begitu juga dengan nikmat-nikmat lain. Maka apakah kita tidak malu untuk terus hidup atas nikmatnya tanpa memperdulikan perintah-Nya.

Allah tidak minta kita berterima kasih hanya dengan mengucapkan terima kasih atau dengan material tetapi apa yang Allah mahukan adalah kita menjalankan tanggungjawab kita sebagai hamba kepada-Nya iaitu dengan menyembah-Nya, tidak menyekutukannya dengan sesuatu pun, melakukan yang ma`ruf dan menjauhi yang munkar.


Kalaulah dengan kerana seorang yang memegang kita dari terjatuh dan maut maka kita boleh mengenangnya seumur hidup kita bahkan bersikap baik kepadanya maka apatah lagi Allah yang bukan sekali menyelamatkan kita bahkan seumur hidup kita Dia menyelamatkan kita dan memberi rahmat-Nya tanpa putus-putus.

Sekiranya manusia fikir tentang perkara ini maka dia akan beriman dengan Allah bahkan menjadi mukmin yang baik. Sifat malu itu sendiri semuanya baik sebagaimana yang termaktub dalam hadits selepas ini.


[١٥٦] ٦٠ (٣٧)- حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى وَمُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ وَاللَّفْظُ لِابْنِ الْمُثَنَّى قَالَا حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ قَتَادَةَ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا السَّوَّارِ يُحَدِّثُ أَنَّهُ سَمِعَ عِمْرَانَ بْنَ حُصَيْنٍ يُحَدِّثُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ الْحَيَاءُ لَا يَأْتِي إِلَّا بِخَيْرٍ فَقَالَ بُشَيْرُ بْنُ كَعْبٍ إِنَّهُ مَكْتُوبٌ فِي الْحِكْمَةِ أَنَّ مِنْهُ وَقَارًا وَمِنْهُ سَكِينَةً فَقَالَ عِمْرَانُ أُحَدِّثُكَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتُحَدِّثُنِي عَنْ صُحُفِكَ

Muhammad bin al-Mutsanna dan Muhammad bin Basysyar telah meriwayatkan kepada kami dan lafaz hadits adalah daripada Ibnu al-Mutsanna, mereka berdua berkata: Muhammad bin Ja`far telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Syu`bah telah meriwayatkan kepada kami daripada Qatadah, beliau berkata: Saya mendengar Aba al-Sawwaar menceritakan bahawa `Imran bin Hushain menceritakan daripada Nabi s.a.w. bahawa baginda bersabda: “Malu itu tidak membawa kecuali kebaikan,” lalu Busyair berkata: “Ada tertulis dalam kitab Hikmah bahawa malu itu adalah merupakan kehebatan dan setengahnya adalah ketenangan.” Maka `Imran berkata: “Aku ceritakan kepadamu daripada hadits Rasulullah s.a.w. sedangkan engkau pula menceritakan dari kitab engkau.”


[١٥٧] ٦١ (٠٠)- حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ حَبِيبٍ الْحَارِثِيُّ حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ زَيْدٍ عَنْ إِسْحَقَ وَهُوَ ابْنُ سُوَيْدٍ أَنَّ أَبَا قَتَادَةَ حَدَّثَ قَالَ كُنَّا عِنْدَ عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ فِي رَهْطٍ مِنَّا وَفِينَا بُشَيْرُ بْنُ كَعْبٍ فَحَدَّثَنَا عِمْرَانُ يَوْمَئِذٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْحَيَاءُ خَيْرٌ كُلُّهُ قَالَ أَوْ قَالَ الْحَيَاءُ كُلُّهُ خَيْرٌ فَقَالَ بُشَيْرُ بْنُ كَعْبٍ إِنَّا لَنَجِدُ فِي بَعْضِ الْكُتُبِ أَوْ الْحِكْمَةِ أَنَّ مِنْهُ سَكِينَةً وَوَقَارًا لِلَّهِ وَمِنْهُ ضَعْفٌ قَالَ فَغَضِبَ عِمْرَانُ حَتَّى احْمَرَّتَا عَيْنَاهُ وَقَالَ أَلَا أَرَانِي أُحَدِّثُكَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتُعَارِضُ فِيهِ قَالَ فَأَعَادَ عِمْرَانُ الْحَدِيثَ قَالَ فَأَعَادَ بُشَيْرٌ فَغَضِبَ عِمْرَانُ قَالَ فَمَا زِلْنَا نَقُولُ فِيهِ إِنَّهُ مِنَّا يَا أَبَا نُجَيْدٍ إِنَّهُ لَا بَأْسَ بِهِ


Yahya bin Habib al-Haritsi telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Hammad bin Zaid telah meriwayatkan kepada kami daripada Ishaq (beliau adalah Ibnu Suwaid) bahawa Aba Qatadah telah menceritakan, beliau berkata: “Kami duduk berhampiran `Imran bin Hushain dalam satu kumpulan, di kalangan kami ada Busyair bin Ka`ab. `Imran bin Hushain pada hari itu menceritakan kepada kami: “Rasulullah s.a.w. bersabda: “Malu itu baik semuanya,” atau perawi berkata: “Malu itu semuanya baik.” Maka Busyair bin Ka`ab berkata: “Sesungguhnya kami memang mendapati dalam kitab-kitab atau kitab hikmah bahawa sebahagian daripada malu itu adalah ketenangan dan sebahagian daripadanya adalah rasa hebat terhadap Allah dan sebahagian daripadanya adalah kelemahan.” Perawi berkata: “Maka `Imran pun naik marah sehingga merah kedua matanya dan dia berkata: “Engkau tidak fikirkah yang aku sedang menceritakan kepada engkau daripada Rasulullah s.a.w. dan engkau pula mencanggahnya / menyanggahnya.” Kata perawi: “Maka `Imran mengulangi hadits tersebut.” Kata perawi: Busyair pun mengulangi kata-katanya maka `Imran pun menjadi marah.” Kata perawi: “Kami pun terus berkata: “Dia itu orang kita wahai Aba Nujaid! Sesungguhnya dia itu tidak mengapa.”


[١٥٨]- حَدَّثَنَا إِسْحَقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ أَخْبَرَنَا النَّضْرُ حَدَّثَنَا أَبُو نَعَامَةَ الْعَدَوِيُّ قَالَ سَمِعْتُ حُجَيْرَ بْنَ الرَّبِيعِ الْعَدَوِيَّ يَقُولُ عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَحْوَ حَدِيثِ حَمَّادِ بْنِ زَيْدٍ

Ishaq bin Ibrahim telah meriwayatkan kepada kami, katanya: al-Nadhr telah menceritakan kepada kami, katanya: Abu Nu`amah al-`Adawi telah meriwayatkan kepada kami, beliau berkata: Saya mendengar Hujair bin al-Rabi` al-`Adawi berkata daripada `Imran bin Hushain daripada Nabi s.a.w. sama seperti makna hadits Hammad bin Zaid.


Hadits tadi menunjukkan adanya pertententangan tetapi apa yang terjadi adalah percanggahan dari segi zahir saja iaitu dari segi istilah bahasa. Apa yang dikatakan oleh Busyair bin Ka`ab hanyalah dari segi bahasa sedangkan apa yang diriwayatkan oleh `Imraan bin Hushain adalah dari segi istilah syara` dan semestinya pada zahir nampak seakan bercanggah.

Busyair mengatakan sebahagiannya adalah kelemahan memandang kepada maknanya dari segi bahasa dan bukannya syara`. Malu jika tidak kena pada tempatnya turut di anggap lemah dalam Islam seperti malu untuk menyatakan kebenaran atau malu untuk menegakkan keadilan.

Apa yang `Imraan bin Hushain mahukan adalah supaya beradab ketikamana suatu hadits diriwayatkan dan tidak cuba menyanggahinya walaupun ianya hanya pada zahir sahaja. Dengan sebab itu beliau amat marah dengan perbuatan Busyair. Ini dipanggil mu`aradhah suriyyah dan bukan mu`aradhah haqiqiyyah (percanggahan pada hakikat perkara tersebut) sebagaimana adanya mutaba`ah suriyyah dan mutaba`ah haqiqiyyah.


[1] Dalam hadits Bukhari ada menyebutkan dengan lebih jelas دَعْهُ ya`ni biarkan dia malu


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...