Khutbah
Pertama
Marilah kita bertaqwa kepada Allah
dengan sebenar-benar taqwa dan bersegeralah kita menyediakan bekalan sebelum
kita kembali ke akhirat. Sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah ketaqwaan
kepada Allah S.W.T. Mimbar jumaat pada hari ini ingin memperkatakan tentang
tajuk “Bersama Menjauhi Ajaran Sesat Syiah”.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah
sekalian,
Pada 19 Disember 2010, sekali lagi
negara kita digemparkan dengan amalan keagamaan yang pelik, di mana pengikut
kumpulan ajaran sesat Syiah Imamiyyah yang berpusat di Hauzah Ar-Ridha, Taman
Sri Gombak, Selangor, telah bertindak memukul badan sendiri menggunakan rantai
sehingga berdarah, sebagai tanda menyucikan dosa. Upacara sebegini dilakukan
pada setiap 10 Muharram dan ianya adalah salah satu di antara 23 penyelewengan
agama, yang diamalkan oleh kumpulan ajaran sesat tersebut sebagaimana yang
dilaporkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Difahamkan juga, setiap
ahli kumpulan dibekalkan tiga biji batu sebesar kurma, yang diletakkan di depan
sejadah. Ketika sujud, dahi para jemaah kumpulan sesat tersebut perlu menyentuh
batu itu.
Kaum muslimin yang dikasihi Allah
sekalian,
Di Terengganu pula, akhbar Utusan
Malaysia bertarikh 26 Ogos 2011 yang lalu telah melaporkan, masjid-masjid di
Terengganu menjadi sasaran penyebaran buku-buku ajaran sesat Syiah. Buku-buku
yang disebarkan tersebut antaranya berjudul:
Pertama: Akhirnya
Ku Temui Kebenaran
Kedua: Dialog
Mengenai Islam Dan Aqidah Islam Sebenar atau nama lain Dialog Mengenai Islam
Dan Aqidah Islam Sebenar dan Kewajipan
Muslim Mentaati Kepimpinan Yang Dilantik Allah Dan Rasul Demi Perpaduan Dan
Kejayaan Dunia Akhirat.
Fenomena ini sememangnya telah
menimbulkan tanda-tanya di kalangan umat Islam di negeri ini. Sehubungan dengan
itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JaHEAT) telah mengarahkan pihak
masjid yang menerima buku tersebut, agar menyerahkan kepada pejabat agama
terdekat dan membuat laporan polis.
Sidang Jumaat yang dipelihara
Allah Taala,
Ajaran Syiah yang bertapak di
Malaysia adalah ajaran Syiah Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah (Ja’fariyyah). Pada
umumnya, kebangkitan fahaman syiah secara meluas di Malaysia telah bermula pada
tahun 1979 lagi.
Antara perkara-perkara yang telah
menarik minat sebilangan golongan belia di negeri ini, kepada fahaman syiah
adalah:
Pertama: Ia menggunakan konsep
emosi iaitu mengajak pemuda-pemudi Melayu mengutuk dan membenci Amerika dan
negara-negara barat secara melulu.
Kedua: Menggunakan “pembebasan
hawa nafsu” iaitu mudahnya kahwin mut’ah dengan sesiapa sahaja hatta dengan
isteri orang.
Ketiga: Melalui konsep reformasi
dan revolusi kerana reformasi berunsur emosi dan revolusi amat diminati oleh
orang muda.
Kaum muslim yang diberkati Allah,
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa,
Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang diadakan pada 2 dan
3 Mei tahun 1996 di Langkawi, Kedah, telah membuat keputusan bagi mengharamkan
ajaran Syiah di Malaysia dan menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah
hanya mengikuti ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah
samada dari segi aqidah, syariat dan akhlak. Begitu juga Jawatankuasa Fatwa
Negeri Terengganu telah memfatwakan pengharaman Syiah pada 25 September 1997.
Saudara-saudara sidang Jumaat
sekalian,
Sedarlah bahawa perbezaan fikrah
atau aliran pemikiran boleh menyebabkan perkelahian sesama kita, walaupun
adik-beradik. Bukankah kita pernah membaca ayat al-Quran yang menceritakan
tentang perkelahian antara adik-beradik iaitu Nabi Musa dan abangnya Nabi Harun
a.s akibat perbezaan aliran pemikiran? Firman Allah Taala dalam surah Tahaa
ayat 92-94:
قَالَ يٰهَرُونُ مَا مَنَعَكَ إِذْ رَأَيْتَهُمْ ضَلُّوۤاْ ﴿٩٢﴾ أَلاَّ تَتَّبِعَنِ أَفَعَصَيْتَ أَمْرِي﴿٩٣﴾ قَالَ يٰٱبْنَأُمِّ لاَ تَأْخُذْ بِلِحْيَتِى وَلاَ بِرَأْسِى إِنِّى
خَشِيتُ أَن تَقُولَ فَرَّقْتَ بَيْنَ بَنِيۤ إِسْرَآئِيلَ وَلَمْ تَرْقُبْ
قَوْلِي ﴿٩٤﴾
Yang bermaksud:
(sekembalinya), Nabi Musa berkata:
“Wahai Harun, apakah yang menghalangmu ketika engkau melihat mereka sesat,
daripada menurutku? Adakah engkau ingkar akan suruhanku?” Nabi Harun menjawab:
“Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik
(rambut) kepalaku, sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku:
“Engkau telah memecah belahkan kaum Bani Israel sesama sendiri, dan engkau
tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!”
Sidang jumaat dikasihi Allah
sekalian,
Melalui ayat tadi kita dapat
memahami, bagaimana perbezaan pandangan antara Nabi Musa dan abangnya Nabi
Harun a.s boleh menyebabkan kejadian si adik menarik janggut dan rambut
abangnya.
Saudara-saudaraku, dalam kejadian
itu, Nabi Musa a.s tetap berselisih faham dengan abangnya Nabi Harun a.s
tentang cara pendekatan terbaik bagi menghalang Bani Israel daripada menyembah
anak lembu emas, sedangkan kedua-dua mereka memiliki pandangan yang betul.
Jadi bayangkan saudara-saudaraku,
apakah yang akan berlaku nanti dalam masyarakat kita bila ajaran Syiah yang
jelas bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah samada dalam permasalahan
pokok, aqidah atau cabang syariat, diamalkan oleh sekelompok umat Islam di
negara kita? Siapakah boleh menjamin tidak akan terjadi perkelahian dan
berbunuh-bunuhan pada ketika itu?
Saudara-saudaraku sekalian,
Ketahuilah, perbezaan kita dengan
Syiah bukanlah hanya dari segi aliran pemikiran semata-mata, tetapi ia lebih
daripada itu. Ianya melibatkan perbezaan aqidah. Rukun iman mereka berbeza
dengan rukun iman kita. Rukun Islam mereka berbeza dengan rukun Islam kita.
Begitu juga kitab-kitab hadith mereka juga berbeza. Bahkan sebahagian besar ulama’-ulama’
Syiah mengakui bahawa al-Quran mereka berbeza dengan al-Quran yang ada bersama
kita. Walaupun ada dari ulama’ mereka yang pura-pura (taqiyyah) mengatakan
bahawa al-Qurannya sama dengan al-Quran kita, tetapi pada masa yang sama mereka
menafsirkan ayat-ayat al-Quran dengan tafsirnya yang sangat berlainan dengan
ulama’ Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Hal ini menepati dengan kata-kata
ulama’ Ahli Sunnah Wal Jamaah bahawa Syiah Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah
(Ja’fariyyah) adalah satu agama yang tersendiri. Melihat pentingnya persoalan
tersebut, maka disini disebutkan sebahagian dari perbezaan atau percanggahan
antara aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah dengan aqidah Syiah Imamiyyah Ithna
‘Asyariyyah (Ja’fariyyah).
Pertama: Khalifah diwasiatkan
secara nas.
Kedua: Imam adalah ma’sum.
Ketiga: Ilmu Allah berubah-ubah
mengikut sesuatu peristiwa yang berlaku kepada manusia.
Keempat: Kemunculan semula Imam
Mahdi dan kumpulan orang yang telah mati untuk memberi keadilan.
Kelima: Berpegang dengan konsep
berpura-pura.
Keenam: Berpegang dengan konsep
mahdiyyah iaitu kepercayaan kepada Muhammad bin Hassan al-‘Askari al-Mahdi
sebagai Imam Mahdi muntazar.
Ketujuh: Penyanjungan yang
keterlaluan kepada Sayyidina Ali.
Kelapan: Mengkafirkan para sahabat
rasulullah s.a.w.
Kesembilan: Menuduh Saidina Abu
Bakar, Umar, Utsman dan Muawiyyah sebagai empat berhala Quraisy serta pengikut
mereka adalah musuh Allah.
Kesepuluh: Hanya Ali dan para imam
sahaja yang menghafaz dan menghimpunkan al-Quran dengan sempurna.
Kesebelas: Menghalalkan nikah
mut’ah.
Kedua belas: Menambah syahadah.
Ketiga belas: Menolak hadis yang
diriwayatkan oleh ahli sunnah wal jamaah sekalipun hadis mutawatir.
Kedua: Percanggahan Dari Sudut Syariat.
Pertama: Ketika berwudhu’, wajib
menyapu kedua-dua kaki, bukan membasuh pada kedua-duanya.
Kedua: Mengharuskan jama’
sembahyang pada semua keadaan.
Ketiga: Mengamalkan nikah mutaah.
Keempat: Islam bukanlah syarat
wajib haji.
Kelima: Menolak ijma’ ulama’ dan
qias.
Ketiga: Percanggahan Umum.
Pertama: Menziarahi kubur Saidina
Husain, ganjarannya adalah syurga.
Kedua: Menyeksa tubuh badan
sempena 10 Muharram.
Ketiga: Menghina isteri-isteri
nabi Muhammad s.a.w.
Saudara-saudaraku sekalian,
Percanggahan ini boleh menyebabkan
pihak yang bertelagah dengan mudah menghalalkan darah lawannya. Jika keadaan
fitnah ini berjaya ditanam dalam masyarakat Islam di negara kita, sudah tentu
musuh-musuh Islam yang sudah lama mengidam ingin melihat kehancuran masyarakat
dan negara kita bersorak gembira.
Sidang jumaat yang dikasihi
sekalian,
Kematian dan kemusnahan harta benda,
akibat perbezaan mazhab sebegini bukanlah sekadar andaian semata-mata, tetapi
ia telah berlaku dan sememangnya akan berlaku lagi di negara yang memiliki
pengikut dua aliran yang berbeza ini. Lihat sahaja apa yang terjadi diantara
pengikut Sunni dan Syiah di Pakistan dan Iraq. Saban hari, kita melihat di kaca
televisyen, bagaimana kedua-dua pihak tersebut saling membunuh dan memasang bom
di masjid pihak lawan. Jika ini terjadi di negara kita, mungkin masjid-masjid
di tempat kita pada suatu masa kelak akan terbahagi kepada masjid puak Sunni
dan masjid puak Syiah dan pada masa itu, kita tentu tidak lagi khusyu’
mengerjakan solat Jumaat atau solat-solat lain kerana asyik memikirkan ancaman
bom dari pihak lawan. Oleh itu, jauhilah ajaran Syiah yang merbahaya ini
sebelum kita ditimpa musibah perkelahian, bunuh membunuh dan perang saudara.
Kaum muslimin yang dirahmati Allah
Taala
Apakah yang boleh dibanggakan dari
ajaran Syiah, sehinggakan ada segelintir dari masyarakat kita yang berminat
dengannya? Adakah mereka buta untuk melihat dan memahami kebatilan dan
kesesatan yang diamalkan dalam ajaran Syiah seperti keharusan menolak hadis yang
sahih dan mutawatir, mengkafirkan para sahabat Rasulullah s.a.w, mengatakan
imam mereka ma’sum dari sebarang kesilapan, menghalalkan nikah mut’ah, menolak
pemakaian hukum ijma’ dan qias, menghina isteri-isteri nabi kita s.a.w,
menyeksa tubuh badan sempena hari 10 Muharram dan banyak lagi kesesatan lain
yng telah disepakati oleh para ulama’.
وَمَن يُشَاقِقِ ٱلرَّسُولَ مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ ٱلْهُدَىٰ
وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ ٱلْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّىٰ وَنُصْلِهِ
جَهَنَّمَ وَسَآءَتْ مَصِيراً ﴿١١٥﴾
Yang bermaksud:
“Dan sesiapa yang menentang (ajaran)
Rasulullah s.a.w sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang
dibawa), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang
beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang
dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkan ke dalam neraka
jahannam, dan neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali”. Surah an-Nisaa’
ayat 115.
Khutbah
Kedua
Marilah kita bertaqwa kepada Allah
dengan sebenar-benar taqwa dan bersegeralah kita membuat bekalan sebelum kita
kembali ke akhirat. Sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah ketaqwaan kepada
Allah S.W.T.
Kaum muslimin yang dirahmati Allah
sekalian,
Cuba kita fikirkan sejenak, apakah
sebenarnya yang kita boleh dapat atau harapkan dari ajaran Syiah? Adakah ajaran
Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang telah diamalkan di negara kita sejak awal
kedatangan Islam sehingga hari ini, menyebabkan kita menjadi lemah, tidak maju,
tidak aman, tidak bahagia atau belum cukup untuk masuk syurga Allah Taala?
Oleh itu, marilah saudara-saudaraku
sekalian, kita bersegera mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk
membendung gejala penyebaran ajaran Syiah di tempat kita sebelum menjadi lebih
parah. Setiap ahli masyarakat seharusnya beringat sebelum terjadi sesuatu yang
buruk, bak kata pepatah “cegah sebelum parah” setiap orang berkewajipan membuat
laporan kepada pihak berkuasa agama di daerah masing-masing jika mengsyaki,
menyedari atau melihat sendiri terdapat mana-mana pihak yang berusaha
memberikan ajaran Syiah yang sesat ini.
Ingatlah bahawa sebarang usaha ke arah
membendung ajaran sebegini adalah termasuk dalam ertikata “jihad” kerana
mempertahankan kesucian ajaran agama yang diwarisi dari junjungan nabi kita
Muhammad s.a.w, manakala sebarang usaha yang cuba menghidupkan fitnah dengan
menyebarkan ajaran Syiah adalah termasuk di dalam perbuatan sesat lagi
menyesatkan.
Di akhir khutbah ini juga, mimbar ingin
mengajak dan berpesan kepada semua umat Islam agar berpegang teguh dengan
ajaran Ahlus Sunah Wal Jamaah yang telah terbukti menjadi ubat dan penawar yang
mujarab bagi menyatukan hati-hati kita selama ini. Justeru, usaha kita
mengambil ubat dan penawar yang palsu, serta telah terbukti boleh melemah dan
menyusahkan perpaduan umat Islam sejak zaman akhir pemerintahan sahabat
Khulafa’ ar-Rasyidin lagi.
Sidang jumaat yang dikasihi Allah
sekalian,
Pada hari dan sangat yang mulia
seumpama ini, marilah sama-sama kita perbanyakkan bacaan selawat dan salam ke
hadrat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w sesuai dengan perintah Allah dalam
al-Quran, surah al-ahzab ayat 56
إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلاَئِكَـتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّ
يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ صَلُّواْ عَلَيْهِ وَسَلِّمُواْ تَسْلِيماً ﴿٥٦﴾
Yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah Taala dan para malaikatnya sentiasa
berselawat ke atas Nabi (Muhammad), wahai orang-orang yang beriman!
Berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan
penghormatan ke atasnya dengan sepenuhnya”
No comments:
Post a Comment