Thursday, February 5, 2009

DEFINISI IMAN: Adakah Iman Itu Murakkab Atau Basit?



Kebanyakan ulama mengatakan iman itu murakkab iaitu terdiri dari banyak bahagian seperti :

i. Membenarkan dengan hati

ii. Melafazkan dengan lidah.

iii. Melakukan dengan anggota.

Walaupun golongan yang berpendapat amal itu adalah juzuk dari iman tetapi golongan ini tidak menyebutnya sebagai juzuk muqawwim yang membawa maksud jika tiada amal maka tiadalah hakikat iman.

Dan jawapan yang paling memuaskan adalah jawapan dari Imam Abu Hanifah yang mengatakan iman itu basit. Manakala amalan dan ucapan bukanlah juzuk yang mesti ada untuk membentuk iman tetapi ia sebenarnya adalah juzuk mukammil iaitu penyempurna yang menyempurnakan iman itu sendiri.Di antara orang yang sependapat dengannya gurunya sendiri iaitu Hammad dan beberapa orang lain.

Dalil-dalil mereka adalah beberapa ayat dan hadits yang menunjukkan amalan dan ucapan itu adalah juzuk mukammil dan bukannya juzuk muqawwim :

1)

إِنَّ الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh” Al- Baqarah : 277

Kalau mengikut kaedah nahu Bahasa Arab wau [و ] adalah huruf atof dan perkataan selepasnya adalah ma`tuf manakala perkataan yang diatofkan adalah ma`tuf alaih iaitu yang ada kaitan dengannya. Jikalau menggunakan wau [و ] ia menunjukkan perkataan yang sebelum dan selepas memberi makna dan hakikat yang berlainan.

Orang-orang yang beriman = ma`tuf alaih

(Orang-orang) yang beramal soleh = ma`tuf

Yakni ma`tuf dan ma`tuf alaih adalah berlainan hakikatnya berdalilkan penggunaan waw [و ] sebagai huruf atof dalam ayat ini.

Golongan ini mengatakan kalaulah amal soleh itu merupakan juzuk dari iman maka tidak perlulah disebut berasingan dari amal soleh kerana ia telahpun termasuk sebagai salah satu juzuk dari iman.

Sebagai contoh : ‘Ahmad dan Razak datang’, dalam Bahasa Arab ayat penggunaan waw [و ] yang bermakna ‘dan’ memberi maksud berlainan, iaitu bukan orang yang sama. Secara umumnya dalam Bahasa Melayu pun menunjukkan makna berlainan. ‘Dan’ tidak digunakan untuk makna yang sama kerana ini boleh menyebabkan kekeliruan, begitu juga Bahasa Arab, penggunaan waw menunjukkan sebelum dan selepas adalah perkataan yang berlainan pada hakikatnya.

Dalam ayat ini iman dan amal soleh disebut bersama kerana amal dan soleh begitu sinonim hingga tidak boleh dipisahkan tetapi ini tidak menunjukkan amal soleh sebagai salah satu juzuk muqawwim dari iman tetapi hanya sebgai juzuk mukammil, iaitu tidak termasuk dalam hakikat iman.

2) Seringkali disebutkan dalam al-Quran apabila seseorang beramal dengan syarat dia beriman maka hasilnya atau akibatnya begitu dan begini.Sebagai contoh :

فَمَنْ يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَا كُفْرَانَ لِسَعْيِهِ

“Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan, dalam keadaan dia beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya.” Al-Anbiya` : 94.

Hasil dari amal kebaikan adalah sama bagi pelaku kebajikan tersebut samada muslim ataupun sebaliknya tetapi berbeza di sisi Allah SWT. Berdasarkan ayat tadi kita dapat lihat mukmin itu sebagai syarat supaya amal usaha seseorang itu tidak sia-sia di sisi Allah SWT.

Ayat ini juga menunjukkan syarat dan masyrut bukanlah benda yang sama :

Iman - syarat

Amal kebaikan - masyrut

3)

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَنْفَالِ قُلِ الْأَنْفَالُ لِلَّهِ وَالرَّسُولِ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَصْلِحُوا ذَاتَ بَيْنِكُمْ وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) tentang harta rampasan perang. katakanlah: "Harta rampasan perang itu (terserah) bagi Allah dan bagi RasulNya (untuk menentukan pembahagiannya). Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan Damaikan antara sesama kamu dan taatlah kepada Allah dan RasulNya jika kamu benar-benar beriman”. Al- Anfal : 1

‘Jika kamu benar-benar beriman’ – Ayat ini menunjukkan iman itu sudah ada dan kemudian barulah datangnya masyrut ‘damaikan antara sesama kamu dan taatlah kepada Allah dan RasulNya’.

4) Seterusnya dalam ayat ini dalil menunjukkan iman boleh wujud dan boleh berhimpun bersama amal yang tidak baik iaitu walaupun seseorang itu melakukan perkara yang tidak elok ataupun maksiat tetapi dia masih lagi dikira beriman. Kalaulah amal soleh atau amal kebaikan itu satu juzuk dari iman maka tentulah tidak boleh ada lawannya iaitu amal jahat atau amal buruk bersama dengannya. Dalam al-Quran disebut dengan jelas, firman Allah SWT :

الَّذِينَ آَمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ أُولَئِكَ لَهُمُ الْأَمْنُ وَهُمْ مُهْتَدُونَ

“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman, mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk”. Al- An`am : 82

Ayat ini menunjukkan iman boleh bercampur aduk dengan kezaliman cuma tidak sempurnalah iman itu jika berlaku demikian. Justeru itu datang ayat ini menegah orang-orang beriman mencampur adukkan dengan kezaliman supaya menjadi orang-orang yang mendapat petunjuk

4)

وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا

“Dan jika dua puak dari orang-orang Yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya”. Al-Hujuraat : 9

Berperang sesama mukmin adalah perbuatan yang tidak baik, walaupun melakukan perbuatan tidak baik masih lagi disebut dalam al-Quran sebagai mukmin. Kalaulah amal soleh itu satu juzuk dari iman maka tentulah tidak akan disebut sebagai mukmin (orang beriman).

5) Khawarij mengatakan bahawa apabila melakukan dosa besar maka tiada lagi iman berbeza dengan pegangan Ahlus Sunnah yang mana walaupun seseorang itu melakukan perbuatan tidak baik dia masih lagi dikira beriman, dalilnya firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha”. At-Tahrim : 8

Ayat ini jelas menyebut “beriman” pada orang yang disuruh bertaubat kerana melakukan kesalahan. Dan kalaulah amal soleh itu juzuk muqawwim dengan erti juzuk yang tidak boleh dipisahkan dari iman maka ayat ini telah menolak pendapat tersebut kerana dalam ayat ini jelas orang beriman itu melakukan kesalahan, maka tentu sekali perbuatan baik atau amal soleh terpisah daripadanya ketika dia melakukan dosa

6)

وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya”. An-Nur :31

7)

عَنْ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ قَالَ بَيْنَمَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ إِذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ شَدِيدُ سَوَادِ الشَّعَرِ لَا يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ وَلَا يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ حَتَّى جَلَسَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إِلَى رُكْبَتَيْهِ وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ وَقَالَ يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِي عَنْ الْإِسْلَامِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْإِسْلَامُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتُقِيمَ الصَّلَاةَ وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ وَتَصُومَ رَمَضَانَ وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إِنْ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيلًا قَالَ صَدَقْتَ قَالَ فَعَجِبْنَا لَهُ يَسْأَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِيمَانِ قَالَ أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ قَالَ صَدَقْتَ

Daripada Umar R.A, beliau berkata: Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah SAW tiba-tiba datanglah kepada kami seorang lelaki yang bersangatan putih pakaiannya, bersangatan hitam pakaiannya, tidak kelihatan padanya tanda-tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalnya sehingga ia duduk berdekatan dengan Nabi SAW lalu dia menyandarkan kedua lututnya kepada dua lutut Nabi dan meletakkan kedua telapak tangannya ke atas dua peha Nabi, kemudian dia berkata: “Hai Muhammad! Ceritakan kepadaku tentang Islam?” Maka Rasulullah SAW menjawab: “Islam itu ialah bahawa engkau mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa bulan Ramadhan, dan engkau mengerjekan haji di Baitullah jika engkau mampu pergi ke sana”. Dia berkata : “Benarlah engkau!” Maka kami pun tercengang kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya, katanya lagi: “Maka ceritakan kepadaku tentang iman?” Rasulullah menjawab: “Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah dan malaikatNya dan segala kitabNya dan para rasulNya dan hari kemudian (akhirat) dan engkau beriman kepada takdir baik dan buruknya, ia berkata benarlah engkau!”

(Riwayat Muslim)

Dalam hadits tersebut Rasulullah SAW menjawab pertanyaan Jibril tentang iman dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan i`tiqad iaitu berkait dengan hati dan tidak ada satu pun yang disebut berupa amalan.

8)

أُولَئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الْإِيمَانَ وَأَيَّدَهُمْ بِرُوحٍ مِنْهُ

“Allah telah menetapkan iman Dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka Dengan semangat pertolongan daripadanya”. Al-Mujadalah : 22

Ini menunjukkan iman itu tempatnya di hati dan bukannya di anggota dan pada anggota itu adalah hasil dari iman.

9)

قَالَتِ الْأَعْرَابُ آَمَنَّا قُلْ لَمْ تُؤْمِنُوا وَلَكِنْ قُولُوا أَسْلَمْنَا وَلَمَّا يَدْخُلِ الْإِيمَانُ فِي قُلُوبِكُمْ وَإِنْ تُطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَا يَلِتْكُمْ مِنْ أَعْمَالِكُمْ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Orang-orang A'raab berkata: " Kami telah beriman". Katakanlah : "Kamu belum beriman, tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: ` Kami telah Islam '. dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani". Al-Hujuraat : 14

Ayat ini menyatakan bahawa tempat iman itu dalam hati bukan di luar. Dan firmanNya lagi :

10)

يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ لَا يَحْزُنْكَ الَّذِينَ يُسَارِعُونَ فِي الْكُفْرِ مِنَ الَّذِينَ قَالُوا آَمَنَّا بِأَفْوَاهِهِمْ وَلَمْ تُؤْمِنْ قُلُوبُهُمْ

Wahai Rasul Allah! janganlah Engkau menanggung dukacita disebabkan orang-orang Yang segera menceburkan diri dalam kekufuran, Iaitu dari orang-orang Yang berkata Dengan mulutnya: "Kami tetap beriman", padahal hatinya tidak beriman”. Al-Mai`dah : 41

Jelasnya, iman itu bukanlah suatu yang diakui pada luaran sahaja. Sebagai contoh orang munafik yang mengaku dirinya beriman padahal ianya hanyalah di mulut sahaja. Dan mengakui keislaman tidak bermakna seseorang itu beriman kerana ianya bukanlah perkara yang sama.

Atas dasar inilah Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa iman dan Islam itu adalah dua benda berlainan hakikat atau berasingan. Walaupun begitu tidak bermakna pendapat ini mendorong kepada murji`ah yang berpendapat bilamana sudah ada iman maka amal perbuatan menjadi tidak penting. Bahkan Imam Abu Hanifah turut berpendapat bahawa tidak bermakna Islam tanpa iman dan begitu juga sebaliknya. Kedua2nya sama penting sehingga tidak dapat dipisahkan.


Wallahu`alam.

Ibnu Hasan,

Kota Bharu, Kelantan.


1 comment:

  1. KESAH PAK MOSES MENCARI HAMBA ALLAH YG BERIMAN
    BAGI MENDALAMI BAB IMAN & MENYELAMI HAKEQAT IMAN...

    Apakah ertinya itu Iman? Apakah perkara2 yg mahu diimankan? Apakah ertinya itu Hakeqat Iman? Dari dalil2 AlHadis dan dari AlQuran sering kali banyak membangkitkan soal Bab Iman. Maka masing2 Muslim diajarkan dgn kefahaman tersendiri apa itu iman. Namun apa yg sering dan yg banyak diserukan diFirmankan dlm AlQuran adalah : "Wahai orang2 yg beriman...". Apakah mudahnya dan murahnya nilainya itu Iman..?? Selaen itu ada satu kesah dlm AlQuran yg meriwayatkan ertinya "Iman". Dibayangkan ngak sempurna itu iman selagi ngak ketemu berguru dgn itu saorang "Hamba Allah Yg Beriman"...

    Bermula AlKisahnya : Pak Moses berasa megah karena berada diatas tahta singgahsana kejayaan, setelah Mukjizatnya bisa menumpaskan kekuasaan dan Kesaktian Firaun... Kapan Allah bertanyakan dan bangkitkan Bab Iman kepada Pak Moses, lalu beliau menyangka Dirinya adalah orang yg paling beriman dizamannya. Lantas Allah Azzawajalla perintahkan kepada Pak Moses. Kalo kamu bener2 mahu mendalami Bab Iman, kamu carilah salah saorang dari Hamba2 Kami, yg telah Kami rahmati kurniai dan ajari Ilmu dari sisi Kami. Maka carilah dia keberadaannya dia yg hadir "DiPertemuan 2 Lautan.."

    Soalnya mampukan Pak Moses berjalan bersendirian, bagi mengesani dan menjejaki keberadaannya sidia yg dicari itu bagi mendalami Bab Iman? Bisakah Pak Moses dapat petunjuk bagi mengesani dan menjejaki keberadaannya "Hamba Allah Yg Beriman" itu, bagi menyelami Hakeqat nya itu Iman? Kesahnya ada tersurat dgn jelas, tetapi amat tersirat lagi amat tersembunyi, peri yg teramat tidak terperi, dlm Surah AlKahfi (Surah Gua) dari Ayat : 60/110 - 82/110, itulah yg mahu dikaji diselemi...

    ..... WALLAHU'ALEM .....

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...