Thursday, February 5, 2009

Pengertian Jahiliyyah



Jahiliyyah adalah salah satu perkataan yang juga menunjukkan kekufuran, tetapi seseorang itu tidak semestinya menjadi kafir apabila melakukan mana-mana jenis amalan jahilyyah kerana sesetengah amalan jahilyyah adalah termasuk dalam cara jahilyyah tetapi berada di bawah jahilyyah yang sebenar iaitu kufur.


Ini termasuklah maksiat yang mana menjadi amalan jahiliyyah tetapi tidak mengeluarkan seseorang dari Islam dengan erti kata lain menjadikannya kafir dengan sebab perbuatan maksiatnya samada dosa kecil atau besar.

Seandainya pelaku dosa tersebut menganggap halal perbuatannya itu maka ia boleh termasuk dalam kufur yang mengeluarkannya dari Islam tetapi jika sekadar melakukannya tidak mengapa. Contohnya minum arak, berjudi dan sebagainya.


Pengertian Jahiliyyah Di Sisi Ulamak


Imam An Nawawi berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan jahiliyyah adalah zaman sebelum Islam.


Tetapi ulamak-ulamak lain menimbulkan keraguan terhadap pendapat beliau kerana terdapat hadits dalam Sahih Bukhari :


قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ سَمِعْتُ أَبِي يَقُولُ فِي الْجَاهِلِيَّةِ اسْقِنَا كَأْسًا دِهَاقًا

Bermaksud : Ibnu Abbas berkata : “Pernahku mendengar ayahku berkata semasa jahiliyyah dia berkata : Bagi minum arak kepadaku”. (Riwayat Bukhari : 3552)


Ini menunjukkan jahiliyyah tidak semestinya dengan makna sebelum Islam kerana Ibnu Abbas lahir hanya tiga tahun sebelum kenabian. Logiknya tentulah tidak masuk akal untuk menyuruh kanak-kanak berumur tiga tahun memberinya arak, sebaliknya pula jika Ibnu Abbas sudahpun besar yang mungkin umurnya dalam lingkungan lima tahun hingga tujuh tahun ertinya dia sudah Islam pada masa itu tetapi masih lagi disebut jahiliyyah

Begitu juga dengan riwayat ini :


عَنْ عَمْرِو بْنِ مَيْمُونٍ قَالَ رَأَيْتُ فِي الْجَاهِلِيَّةِ قِرْدَةً اجْتَمَعَ عَلَيْهَا قِرَدَةٌ قَدْ زَنَتْ فَرَجَمُوهَا فَرَجَمْتُهَا مَعَهُمْ

Yang bermaksud : Daripada Amar bin Maimun beliau berkata : “Saya semasa jahiliyyah pernah melihat seekor monyet yang dikerumuni oleh monyet-monyet yang lain, monyet itu telah berzina. Mereka (monyet-monyet) itu merejam monyet yang telah berzina itu, saya pun turut bersama merejam monyet itu’. (Riwayat Bukhari: 3560)


Amar bin Maimun adalah tabi`in, walaupun dia sempat sezaman dengan Rasulullah tetapi dia tidak sempat berjumpa dengan Rasulullah, dengan itu dia menjadi tabi`in. Bermakna peristiwa yang dia lihat tentulah di zaman Nabi SAW

Begitu juga disebutkan dalam muqaddimah muslim :

أَبُو عُثْمَانَ النَّهْدِيُّ وَأَبُو رَافِعٍ الصَّائِغُ وَهُمَا مَنْ أَدْرَكَ الْجَاهِلِيَّةَ وَصَحِبَا أَصْحَابَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Abu Uthman An Nahdi dan Abu Rafi` As So’igh, mereka sempat dengan zaman jahiliyyah dan bersahabat dengan sahabat Rasulullah SAW


Abu Uthman An Nahdi dan Abu Rafi` As So’igh disebut sempat dengan zaman jahiliyyah sedangkan mereka bukanlah dari kalangan orang-orang yang wujud sebelum kedatangan Islam. Ini jelas menunjukkan bahawa jahiliyyah tidak semestinya hanya sebelum Islam.


Hafiz Ibnu Hajar mengatakan bahawa pendapat Imam An Nawawi itu tidak tepat dan masih boleh dipertikaikan. Perbuatan atau amalan cara jahiliyyah samada sebelum Islam atau selepas kedatangan Islam maupun pada zaman ini masih boleh dikira jahiliyyah asalkan amalan itu sesuai atau biasa dilakukan oleh orang yang tidak mengikut agama kerana lazimnya perbuatan-perbuatan demikian dilakukan sebelum datangnya kenabian oleh orang-orang yang tiada agama.


Hafiz Ibnu Hajar menyebutkan: “Apabila disebut jahiliyyah maka berkemungkinan membawa beberapa makna:

  1. Zaman antara kelahiran Nabi SAW dengan kebangkitannya sebagai rasul
  2. Sebelum kelahiran Nabi SAW
  3. Sebelum fathi mekah (pembukaan mekah).
  4. Bergantung kepada individu – tidak terikat dengan masa, jika seseorang melakukan perbuatan atau amalan jahiliyyah maka disebut jahiliyyah. Contohnya: Rasulullah SAW mengatakan pada Abu Dzar : “Pada engkau masih ada jahiliyyah” padahal peristiwa tersebut berlaku pada zaman selepas datangnya Islam.

Wallahu`alam

Ibnu Hasan,

Kota Bharu, Kelantan.

2 comments:

  1. salam, walaupun dah tulis, saya tetap nak minta izin share ye...syukran atas ilmu yang dikongsi..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...